Biden tersasul panggil Rishi Sunak 'tuan presiden'


Presiden AS Joe Biden bersama Perdana Menteri Britain Rishi Sunak pada sidang media White House pada Khamis. – Gambar AFP, 9 Jun 2023.

JOE Biden keliru mengenai gelaran Perdana Menteri Britain Rishi Sunak apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu di White Hoyse, sehingga memanggilnya sebagai “tuan presiden”, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dengan segera membetulkan kesilapannya, sambil bergurau bahawa beliau telah “menaikkan pangkat” Sunak.

Pemimpin berusia 80 tahun itu yang duduk bersebelahan Sunak dalam mesyuarat dua hala, berkata: “Baiklah, tuan presiden – Tuan presiden, saya baru sahaja menaikkan pangkat anda. Tuan perdana menteri, saya gembira menerima anda kembali.”

Sunak, yang tertawa, tidak pernah ke White House sebelum ini sebagai perdana menteri, hanya memegang jawatan Oktober lalu.

Biden memberitahunya: “Dalam beberapa bulan lalu, kami telah berjumpa antara satu sama lain di San Diego dan kemudian kami bertemu di Belfast dan sekali lagi di Hiroshima.

“Dan sekarang, kami di sini akan menyelesaikan semua masalah dunia dalam 20 minit akan datang.”

Ini bukan kali pertama presiden AS kelihatan tergagap-gagap dalam percakapannya.

April lalu, semasa lawatannya ke Republik Ireland, Biden dilihat keliru nama pasukan ragbi All Blacks New Zealand dengan “Black and Tans” – pasukan polis kontroversi era Perang Kemerdekaan di Ireland. – Bernama, 9 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen