Patut wujud jawatankuasa khas bukan Islam, kata pemimpin agama


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin pertubuhan bukan Islam berkata kerajaan patut menubuhkan jawatankuasa khas agama lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2023.

SELAIN mengukuhkan peranan dan kedudukan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), kerajaan juga patut menubuhkan jawatankuasa khas agama lain, kata pemimpin pertubuhan bukan Islam.

Antaranya bekas presiden Hindu Sangam Mohan Shan yang berpendapat, jawatankuasa khas untuk agama bukan Islam itu akan membolehkan mereka memelihara hak penganut bukan Islam.

“Kita tak boleh salahkan perdana menteri untuk kukuhkan atau beri lebih peranan kepada Jakim.

“Tetapi jangan sampai menghalang atau membuat sesuatu yang mengakibatkan peranan agama lain yang diberi kebebasan dalam undang-undang.

“Jangan halang atau jangan membuat sesuatu yang akan mengakibatkan perselisihan agama dan kaum,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Beliau mengulas ikrar Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu memperluaskan peranan Jakim sesuai dengan slogan Madani yang dianjurkan dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Anwar pada Ahad lalu menyebut, ia meluaskan fungsi Jakim selama ini yang berdakwah, memberi latihan dan menganjurkan majlis tilawah dan hafazan Al-Quran.

Jakim kurang berperanan dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan Madani, kata perdana menteri ketika merasmikan tilawah Al-Quran di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Mohan berkata kerajaan sememangnya berhak mengukuhkan peranan dan kedudukan Jakim kerana Islam agama rasmi negara.

Mohan berkata mereka juga tidak meminta diberikan jabatan dengan hak sama rata seperti Jakim namun berharap dapat diberikan peranan untuk membantu memartabatkan negara ini

“Itu hak kerajaan, patut jaga Islam sebagai agama rasmi. Jadi saya fikir tidak salah untuk kukuhkan dan meluaskan tanggungjawab mereka untuk menjaga kedaulatan Islam dan agama Islam.

“Tapi dalam masa sama perdana menteri kena fikir berkenaan tubuh jawatankuasa agama bukan Islam.

“Agama lain juga mesti diberi peranan penting untuk menjaga peranan agama lain yang termaktub dalam undang-undang negara. Kita tak minta hak sama rata tapi kita minta hak kita mesti tidak dilarang,” katanya.

Seorang lagi pemimpin pertubuhan agama bukan Islam, Jagir Singh juga berpendapat pendapat mereka juga wajar diambil kira dalam sebarang pelan melibatkan pembangunan negara.

Presiden Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) itu menegaskan pembangunan negara melibatkan semua rakyat tanpa mengambil kira latar belakang.

“Kalau untuk merangka pelan pembangunan negara, adalah lebih baik dan wajar bukan Islam juga dapat jemput.

“Sebab ini melibatkan semua rakyat dan negara,” katanya.

Jagir berkata MCCBCHST turut memperakui peranan Jakim dalam melibatkan kepentingan orang Islam di negara ini.

Namun, berpegang kepada prinsip Malaysia Madani, pendapat penganut agama lain juga boleh diambil kira untuk tujuan itu.

“Jadi memang Jakim boleh beri pandangan tentang agama Islam, tapi kalau dapat pandangan agama lain, (kami) juga boleh dijemput untuk beri sumbangan dalam apa-apa pelan yang hendak dibuat atau dalam perancangan. Memang wajar melibatkan agama lain.

“Ini adalah juga, kalau diselaras dengan Malaysia Madani semua rakyat adalah diterima dan yang demikian memandangkan Malaysia Madani juga perlu pandangan bukan Islam, (jadi memang ) patut terlibat,” katanya.

Tambahnya, MCCBCHST belum dilibatkan pihak kerajaan untuk tujuan itu.

“Kita wakili lima agama utama dalam negara. Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, dan Taoisme, belum ada apa-apa perjumpaan.

“Itulah (prinsip) Malaysia Madani adalah untuk semua warganegara, untuk semua rakyat, patut menjemput kami,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar pada Rabu mengesahkan Jakim sedang merangka pelaksanaan pengembangan peranan itu.

Laporan Bernama menyebut, beliau menjelaskan ia antara lain menumpukan usaha menterjemah konsep maqasid syariah dan nilai Islam bersama pelbagai agensi dalam dasar kerajaan.

Dasar itu melibatkan pembangunan ekonomi, pembasmian kemiskinan, pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pengukuhan sosial, katanya.

Beliau menyebut, Jakim pada masa ini menerajui pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan serta menjadi urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

MKI yang ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada 1968 menyelaras pentadbiran agama Islam di seluruh negara.

Fungsi Jakim pada waktu ini termasuk melaksana penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak, penyelarasan dan pembangunan pendidikan Islam dan penyelarasan pentadbiran Islam.

Pelaksanaan fungsi itu melibatkan pelbagai agensi secara terbatas yang berkaitan dengan fungsi berkenaan dan khusus terkait hal ehwal Islam sahaja, kata Na’im. – 17 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen