JUMLAH hadiah wang tunai yang ditawarkan di Wimbledon, kejohanan Grand Slam tenis tertua, meningkat kepada rekod £44.7 juta (RM260.4 juta) tahun ini.
“Hadiah wang yang ditawarkan untuk acara tenis tahun ini ialah peningkatan 11.2% pada 2022 dan peningkatan 17.1% pada kejohanan prapandemik pada 2019.
“Juara dan naib juara Perseorangan Lelaki dan Wanita masing-masing akan menerima £2,350,000 dan £1,175,000,” menurut The All England Club dalam portal Wimbledon.com, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, untuk dana hadiah wang pusingan kelayakan meningkat 14.5% daripada tahun lepas dan pemain perseorangan yang kalah dalam pusingan pertama akan menerima £55,000, peningkatan 10% daripada 2022.
Novak Djokovic dan Elena Rybakina masing-masing dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki dan wanita tahun lalu.
Undian utama Wimbledon 2023 akan berlangsung pada 3 Julai, dengan acara tenis akan berakhir menerusi perlawanan akhir perseorangan lelaki pada 16 Julai. – Bernama, 16 Jun, 2023.
Komen