Sanusi tidak akan mampu selesai masalah Kedah, kata Guan Eng


SIKAP Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terhadap DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinannya tidak akan membantu menyelesaikan krisis air yang teruk di Kedah, kata Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan, bekas ketua menteri Pulau Pinang dan ahli Parlimen Bagan itu menegaskan sikap Sanusi juga tidak akan menyelesaikan isu ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Kedah.

“Sanusi tidak tahu bagaimana untuk selesaikan krisis kekurangan air yang teruk di Kedah. Sehingga kini, Sanusi tidak menjelaskan bagaimana kempennya untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah membantu selesaikan krisis air yang teruk di Kedah dan isu ekonomi lain yang dihadapi oleh rakyat Kedah,” kata Lim.

Baru-baru ini, Sanusi mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Pada 29 Mei, Sanusi berkata kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan dan meminta Perlembagaan dipinda.

Anwar semalam memberitahu forum di Pulau Pinang yang pemimpin perlu berilmu supaya mereka boleh menggunakan pengetahuan untuk membantu rakyat.

Beliau berkata seorang pemimpin perlu berilmu, membaca dan tidak boleh bergantung kepada setengah kebenaran.

Beliau merujuk kepada isu “Kedah milik Pulau Pinang” dengan berkata inilah yang berlaku apabila seorang pemimpin tidak membaca.

Menjawab perkara ini, Lim hari ini berkata Sanusi tidak mungkin mendengar nasihat Anwar supaya beliau lebih banyak membaca sejarah.

“Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak mempunyai sempadan kerana Pulau Pinang masih milik Kedah. Sanusi salah kerana Kedah dan Pulau Pinang bersetuju dengan sempadan yang digubal secara rasmi menurut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

“Sempadan Pulau Pinang dan Kedah ditanda dan dimaktubkan menjadi undang-undang di bawah Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985.

“Sanusi juga menafikan pernah berkata beliau meragui kedaulatan Pulau Pinang walaupun beliau dirakam menerusi video dan TikTok berkata demikian. – 12 Jun, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen