Pertumbuhan global disemak naik beri prospek baik perdagangan Malaysia, kata menteri 


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata semakan ini positif untuk negara seperti Malaysia apabila perdagangan memainkan peranan utama dalam ekonomi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2023.

SEMAKAN terkini untuk pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini memberi prospek yang baik kepada Malaysia dan akan menyumbang secara positif kepada prestasi perdagangan negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Baru-baru ini, Bank Dunia telah menyemak semula pertumbuhan global kepada 2.1% pada 2023, lebih kukuh daripada anggaran 1.7% yang diumumkan pada Januari. 

Pada masa yang sama, ia telah menaikkan unjuran pertumbuhan 2023 untuk Amerika Syarikat kepada 1.1% dan China kepada 5.6%, kedua-duanya adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dinaikkan sebanyak 0.3 mata peratusan berbanding unjuran Januari kepada 4.3% pada 2023 dan 4.2% pada 2024.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menyemak semula prospek pertumbuhan ekonomi dunia kepada 2.7% daripada 2.6% berikutan inflasi yang rendah dan sekatan Covid-19 yang ditarik balik oleh China, tetapi menekankan perjalanan yang panjang untuk mencapai pertumbuhan yang kukuh.

“Semakan menaik ini adalah positif untuk negara seperti Malaysia apabila perdagangan memainkan peranan utama dalam ekonomi.

“Apa yang kita lihat ialah pertumbuhan, perdagangan masih positif, tetapi berbanding tahun lepas, terdapat pertumbuhan yang sederhana,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perdagangan Malaysia mencapai kira-kira 140% daripada KDNK negara.

Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Perdagangan Dunia mengunjurkan pertumbuhan perdagangan yang rendah pada tahun ini sebanyak 1.7% berbanding 2.7% pada tahun lepas, sebelum meningkat kepada 3.2% pada 2024.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul yakin bahawa ketidaktentuan dalam pasaran mata wang tidak akan menyebabkan defisit perdagangan di Malaysia.

“Saya tidak bimbang mengenai defisit perdagangan kerana kita dipacu oleh eksport yang kukuh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E), dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak enam peratus.

“Sektor ini terus menyaksikan permintaan global yang kukuh dan kita akan mendapat manfaat daripadanya. Kita akan mendapat manfaat daripada penjajaran semula rantaian bekalan ke Malaysia berdasarkan landskap geopolitik global,” katanya.

Malaysia telah mengekalkan lebihan dagangan sejak Mei 2020.

Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut untuk mencatatkan RM2.8 trilion. Eksport berjumlah RM1.6 trilion dan import mencecah hampir RM1.3 trilion. – Bernama, 10 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen