Agihan kerusi PRN Umno-Pakatan rumit!


Ruhan Shahrir

Di tingkat kepimpinan atas rundingan agihan kerusi Umno-PH mungkin dapat ditangani tetapi sukar untuk dipastikan sentimen sebenarnya di tingkat kepimpinan pertengahan, bawah dan anggota akar umbi serta penyokong mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2023.

RUNDINGAN Umno-PH untuk agihan kerusi di PRN15 berada di titik paling rumit. Di tingkat kepimpinan atas ia mungkin dapat ditangani tetapi sukar untuk dipastikan sentimen sebenarnya di tingkat kepimpinan pertengahan, bawah dan anggota akar umbi serta penyokong mereka.

Puncanya kekurangan kepercayaan antara satu sama lain.

Kepercayaan sukar untuk dibina hanya dalam masa setengah tahun bersama. Masa perlu diberikan kepada kedua-dua pihak Umno dan PH.

Namun, kedua-dua Umno dan PH tidak punya masa yang panjang. Dengan DUN untuk lima negeri dijangka bubar pada bulan ini, kekusutan pengagihan kerusi antara kedua-dua pihak sukar untuk dirungkaikan.

Simpulan kekusutan antara keduanya terletak kepada tiga permasalahan pokok. Pertamanya ideologi. Keduanya ekonomi-politik. Dan ketiganya DAP.

Ideologi

Ideologi Umno mengikut sejarahnya adalah nasionalisme Melayu dengan bangsa Melayu sebagai pusat kesetiaannya.

Walaupun idea nasionalisme Melayu dan kemelayuan Umno hanyalah salah satu varian daripada pelbagai jalur nasionalisme Melayu yang wujud di Malaysia, ia hadir dalam jiwa dan tubuh Umno sebagai organisasi politik dan terserap pula ke dalam emosi, sanubari dan sentimen anggota-anggotanya baik di tingkat atas, pertengahan, bawah, mahu pun akar umbi.

PH pula adalah sebuah pakatan yang terbentuk daripada tiga parti politik yang punya kecenderungan berbeza-beza. Antara ketiga-tiga parti yang membentuk PH, hanya DAP yang punya kejelasan ideologi berteraskan “Malaysian Malaysia” yang sering dikritik oleh Umno selama puluhan tahun.

“Malaysian Malaysia” DAP menolak sebarang idea untuk meletakkan identiti Melayu sebagai teras kepada keperibadian Malaysia.

Manakala PKR pula masih kabur apa yang menjadi ideologi anutannya selain daripada konsep Madani yang longgar dan samar. Amanah juga sebagai sebuah parti politik tidak dapat ditangkap secara jelas apa ideologi yang menjadi sandarannya selain daripada idea “maqasid-shariah” atau “Islam-demokrat” yang juga longgar dan samar.

Justeru, walaupun ketiga-tiga parti ini punya kecenderungan yang berbeza-beza, namun tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa ketiga-tiga parti yang membentuk PH sebagai suatu gabungan politik tidak memusatkan bangsa Melayu dan kemelayuan sebagai teras kepada perjuangannya.

Tidak berlebihan juga untuk saya rumuskan bahawa ketiga-tiga parti ini adalah sebuah wadah yang cuba mengangkat idea-idea kemalaysiaan yang merentasi sentimen etnik sebagai pusat tumpuan dan juga agenda kepada perjuangannya.

Perbezaan ideologi kedua-dua pihak ini di samping sejarah permusuhan yang panjang antara mereka pada hemat saya merupakan tenaga sosial di lapisan akar yang menyulitkan proses pengagihan kerusi untuk PRN yang akan datang. Ia tak ternampak jelas di permukaan tetapi menjadi tenaga terpendam yang melahirkan rasa ketidakpercayaan antara satu sama lain.

Ekonomi-politik

Terkait dengan ideologi adalah persoalan ekonomi-politik. Umno bukan hanya berideologikan Melayu tetapi juga turut menjadi pengagih sumber-sumber ekonomi menerusi pemberian kontrak, projek, kedudukan dan jawatan kepada penyokongnya untuk mendapatkan kesetiaan mereka dan  memperlihatkan bahawa Umno “melindungi Melayu”.  

Perkara yang sama juga cenderung berlaku kepada parti-parti politik berkepimpinan Melayu baik di dalam PH mahu pun PN. Kuasa politik menjadi sarana untuk agihan sumber-sumber ekonomi. Menaungi dan dinaungi menerusi perselingkuhan ekonomi-politik adalah sebahagian daripada budaya politik Melayu yang masih belum dapat dirungkaikan simpulannya.

Umno dalam konteks ini memerlukan lebih banyak kerusi untuk meningkatkan peluang kemenangan agar fungsinya sebagai “pelindung Melayu” dapat ditonjolkan. Jika fungsi “melindungi Melayu” itu gagal ditonjolkan lantaran peluang kemenangan yang mengecil akibat daripada kerusi yang diperolehi terlalu sedikit, maka pesaingnya Bersatu dan PAS sudah sedia menanti untuk menggantikannya.

Di waktu Umno sekarang menghadapi masalah kemerosotan kepercayaan khususnya di kalangan pengundi-pengundi Melayu, mengurangkan kerusi Umno bermakna peluang untuk merebut kerusi DUN juga semakin kecil. Semakin kecil kerusi yang Umno miliki semakin kurang fungsi ekonomi-politiknya sebagai “pelindung Melayu”.

Justeru, Umno memerlukan agihan kerusi yang lebih munasabah untuk membolehkan ia mengembalikan wibawanya di mata pengundi-pengundi Melayu.

Pada masa yang sama Amanah dan PKR turut memerlukan kepercayaan daripada pengundi di kawasan-kawasan yang majoriti Melayunya besar.

Memberikan lebih banyak kerusi kepada Umno bererti melepaskan peluang untuk kedua-dua parti berkepimpinan Melayu itu memperlihatkan kepada pengundi Melayu khususnya bahawa mereka juga mampu untuk memainkan peranan ekonomi-politik sebagai “pelindung” Melayu.

Pertimbangan jangka panjang memerlukan Amanah dan PKR bertanding di lebih banyak kawasan yang majoriti Melayunya besar sebagai persediaan menghadapi PRU16 yang berkemungkinan Umno akan memilih untuk tidak berkerjasama dengan PH.

Di ketika itu PH tidak lagi boleh mengharapkan Umno untuk mendapatkan undi Melayu bagi pihak mereka. Amanah dan PKR perlu mandiri di dalam meraih sokongan daripada pengundi Melayu dan mendapatkan kerusi DUN di kawasan-kawasan majoriti Melayu yang besar adalah langkah permulaan ke arah kemandirian daripada bergantung kepada parti di luar PH.

Dilema agihan kerusi buat Umno dan PH dari sisi ekonomi-politik seperti yang saya huraikan di atas mempunyai implikasi jangka pendek dan panjang kepada kedua-dua pihak. Namun sayugia diingatkan, proses pengagihan kerusi akan jauh lebih rumit buat Umno jika ia bersama Bersatu dan PAS kerana ketiga-tiganya bersaing antara satu sama lain di kawasan-kawasan yang hampir sama.

Masalah DAP

DAP pada umumnya masih dianggap oleh ramai orang Melayu sebagai sebuah parti yang mewakili kepentingan-kepentingan Cina.

Dengan kata lain ia merupakan sebuah parti yang menolak cita-cita nasionalisme Melayu yang menjadi teras kepada perjuangan Umno. Namun, Umno kini adalah salah satu rakan kerjasama DAP di dalam “kerajaan perpaduan” yang ditunjangi oleh PH.

DAP sendiri secara relatifnya tidak punya masalah untuk mendapatkan kerusi di DUN pilihannya kerana ia menumpukan kerusi-kerusi di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina atau di kawasan campuran yang pengundi Melayunya adalah majoriti kecil.

Kewujudan DAP di dalam PH sebenarnya lebih membawa masalah kepada agihan kerusi antara Umno dengan PKR dan Amanah.

Dari satu sisi Umno memerlukan lebih banyak kerusi di DUN untuk memastikan ia terus hidup dan bernafas. Namun memberikan lebih banyak kerusi kepada Umno ada risikonya.

Sanggupkah penyokong dan anggota Umno memberikan sokongan kepada Umno yang kini berkerjasama dengan DAP, sebuah parti yang menolak Melayu dan keMelayuan sebagai teras kepada identiti Malaysia?

Tambahan pula imej serta wibawa Umno sendiri sudah terhakis di mata ramai orang Melayu lantaran kes-kes rasuah dan korupsi yang terpalit pada tubuh sebahagian daripada kepimpinan tertingginya.

Apakah dengan memberi kerusi lebih banyak kepada Umno akan dapat menarik sokongan pengundi Melayu kepada “kerajaan perpaduan”? Saya secara peribadi musykil.

Namun mengurangkan kerusi Umno di PRN15 nanti tidak kurang besar risikonya juga.
Mengurangkan kerusi untuk Umno bermakna memberikan lebih kerusi kepada PKR dan Amanah.

Soalan yang sama juga boleh diajukan – sanggupkah penyokong dan anggota Umno khususnya serta pengundi-pengundi Melayu di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu umumnya, memberikan undi mereka kepada PKR dan Amanah yang bergabung dengan DAP sebagai sebuah pakatan bersama? Sekali lagi saya musykil.

Melebihkan kerusi untuk PKR dan Amanah di kawasan-kawasan majoriti besar Melayu berkemungkinan besar mengundang ketidakpuasan hati daripada Umno.

Jika ini yang berlaku ia akan memudahkan anasir-anasir dalaman Umno yang sekarang “bermain wayang” untuk memasukkan jarum kebencian bagi menggoncang kestabilan “kerajaan perpaduan”.

Ditelan mati mak diluah mati bapa. Dipukul lutut sakit direngkuh siku ngilu.

Perlu kestabilan politik

Saya secara peribadi berpendirian “kerajaan perpaduan” perlu diberikan masa untuk menghabiskan penggalnya. Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil tanpa ditebuk atap dan dindingnya agar ia bisa menguruskan cabaran-cabaran pasca-pandemik yang rumit tanpa sebarang gangguan dan goncangan politik yang berterusan.

Namun saya juga faham dalam konteks politik negara Malaysia yang teras kestabilannya (baca: Melayu) telah terbarai, pecah dan berantakan, yang terhasil adalah herot-berot politik yang tidak berkesudahan.

Justeru, selagi Melayu gagal menemukan jalan untuk menyusun semula politiknya yang berantakan itu dalam suatu bentuk yang lebih bersepadu, Malaysia akan turut terheret sama ke dalam kancah herot-berot politik yang berpanjangan. – 9 Jun, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen