Asal usul nama dan jati diri


Hishamuddin Rais

Kenapa Malaysia tidak terus dinamakan Tanah Melayu, walhal Tanah Melayu ini adalah asal usul pensejarahan tanah air kita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2023.

SAYA bukan ilmuwan atau pakar sejarah. Tapi saya meminati sejarah – perkara lampau – yang menarik perhatian saya. Dari zaman sekolah di Jelebu hingga ke hari ini saya masih lagi berminat untuk membaca, mendengar dan menonton babak segala macam sejarah.

Saya ingin tahu kenapa itu jadi itu, tidak jadi ini. Kenapa di sana tidak sama macam di sini. Semua ini untuk saya amat menarik. Saya tidak dapat membayangkan hidup saya tanpa meminati sejarah dan pensejarahan.

Pada hemat saya jika kita tidak mengenal sejarah, kita tidak tahu siapa kita. Dari mana kita datang. Kenapa kita jadi macam ini dan tidak macam itu. Jika kita tak tahu dari mana kita datang maka pastilah susah untuk kita tahu ke mana hendak dituju.

Saya tahu saya dari suku Biduanda – suku Orang  Asli di Negeri Sembilan. Saya tahu asal usul datuk nenek moyang saya yang satu ketika dahulu adalah Sakai.

Saya mengenal dan tahu asal usul Jelebu daerah saya dibesarkan. Ini menurut cerita orang-orang tua yang diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi. Ini sejarah mulut.

Surah daerah ini bermula dalam masyarakat Jakun. Kisah mengenai seorang Tok Batin Asli yang membuka sebuah ladang. Dalam ladang ini ada tanaman labu yang cukup subur. Akar labunya menjalar jauh.

Kerana kesuburan labu Tok Batin itu, maka ramai orang datang ke ladang labu Tok Batin tersebut. Mereka menamakan tempat itu sebagai “Jalar Labu”, sehingga lama-kelamaan bertukar menjadi Jelebu.

Sejarah mulut cerita rakyat asal usul Jelebu ini untuk saya masuk akal dan meyakinkan.

Kemudian tahun 80-an apabila Perang Dingin makin reda presiden Ronald Reagan membebaskan Internet dari monopoli tentera Amerika. Internet berkembang meluas merebak ke seluruh dunia untuk kegunaan awam.

Pada 14 Februari, 2005 muncul YouTube dalam Internet. Ini mengubah dunia sama seperti The Beatles mengubah muzik. Media cetak merosot. Media resmi stesen TV merosot sama. Di negara yang berkuku besi terhadap media seperti Malaysia, Internet membawa udara pencerahan segar.

Tiga tahun kemudian pada 1 Januari, 2008 saya menerbitkan buku Keganasan, Penipuan dan Internet: Hegemoni Daulah Pecah. Antara isi buku ini ialah saya merayakan Internet yang membawa kepelbagaian sudut pandangan. 

RTM, TV3, Utusan atau Berita Harian hilang monopoli. Internet menjadi media pilihan rakyat. Rakyat bergembira.

Ramalan tulisan saya itu ada yang benar dan ada yang salah. Malah banyak perkara baru yang muncul di luar pemerhatian saya.

Saya begitu gembira merayakan pemandulan RTM dan Utusan dan media milik United Malays National Organisation hingga saya gagal untuk sedar banyak sampah sarap jenis baru juga terhambur keluar dari Internet.

Paling terbaik sebagai contoh saya bawa pembaca kembali ke sejarah Jelebu.

Baru-baru ini saya menonton satu klip YouTube berkenaan asal usul Jelebu. Klip panjang 3 minit 19 saat ini dimuat turun ke YouTube tiga tahun dahulu. Video ini bertajuk: Asal Usul Jelebu.

Seorang ustaz dari Indonesia berceramah tentang asal usul Jelebu. Ustaz ini meminta Raja, Sultan dan Rakyat Malaysia menghayati apa yang terhambur dari mulutnya.

Awalnya saya hendak ketawa kerana kawan-kawan saya selalu memanggil ustaz YouTube ini sebagai retard atau terencat akal.

Memang betul retard ini… oops… ustaz ini membuat saya ketawa. Mengapa tidak kerana menurut retard ini… opps… maaf menurut ustaz ini Jelebu diteroka seorang Tok Arab bernama Al-Syumaisi pada 628 Masihi.

Untuk mengAjiNoMotokan labunnya ustaz ini menerangkan Al- Syumaisi ini sahabat Nabi Muhammad. Malah si Syumaisi ini memainkan peranan penting dalam perjanjian Hudaibiyah.

Aji No Moto lagi ditambah dengan cakap-cakap Arab dan ayat Arab. Maka umum diberitahu Jelebu ini berasal dari kalimah Arab Jalbu kemudian menjadi Jelebu.

Maka saya Hishamuddin Rais, Sakai dari Jelebu, menjawab semua ini dengan ayat Sakai: minkum bil karutun tak maluun – ini bahasa Arab yang saya Aji No Moto kan.

Apa yang saya tulis ini bukan fitnah dan bukan auta. Klip ini masih ada di YouTube untuk dijadikan rujukan.

Ceramah karut seperti ini yang bertopeng agama bertimbun-timbun di YouTube. Pelbagai rupa ustaz mengeluar labun dongeng Tok Arab mereka. Biasanya akan juga ditayangkan nombor bank akaun mungkin untuk meminta dana.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah sejarah dan pensejarahan. Ini berkait rapat dengan jati diri. Saya mengambil klip asal usul Jelebu kerana Jelebu adalah daerah datuk nenek moyang saya. 

Faktanya ialah Jelebu tidak ada sangkut paut dengan mana-mana nama Tok Arab – sahabat Nabi ataupun musuh Nabi.

Ada apa pada nama?

Ayat ini berasal dari bangsawan Romeo dan Juliet karya Shakespeare: “Apa ada pada nama? Yang kita panggil mawar dengan nama lain akan berbau harum juga.”

Untuk saya nama ini bukan saja harum atau busuk. Ada perkara yang lebih penting di belakang nama ini.

Justeru ada pencerahan yang mahu saya sampaikan di sini ialah tentang nama. Bagaimana nama ini berkait dengan sejarah. Nama termasuk nama individu dan nama tempat. Nama ini adalah kad pengenalan identiti diri.

Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama.

Jati diri harimau lahir dari belangnya. Jati diri kita muncul dari nama.

Mari kita lihat perkembangan terakhir tentang nama. Awal 2023 – tidak lama dulu, Turkey menukar nama negara dari Turkey ke Turkiye Cumhuriyeti. Nama baru diwujudkan untuk memperkukuh jati diri sebuah republik.

Banyak nama negara dalam dunia ini diwujudkan oleh kuasa  penjajah. Kuasa kolonial kulit putih datang menjajah lalu mereka memberi nama bumi dan wilayah yang mereka jajah.

Nama baru ini mengetepikan nama asal yang memiliki sejarah turun temurun. Kuasa kolonial sengaja mengubah suai mengikut suara hati dan pengucapan mereka.

Justeru Inggeris memanggil Canton walhal nama asal ialah Kwangchow. Memanggil Hong Kong walhal nama asal ialah Xiangggang. Menamakan tanah jajahan sebagai yang ditemui oleh Cecil Rhodes (1853-1902) sebagai Rhodesia walhal nama asal ialah Zimbabwe.

Penjajah dengan kuasa dolar dan kuasa senjata memastikan nama ini terus diguna pakai. Buku ilmu alam karangan Jabatan Pelajaran yang didirikan oleh penjajah memastikan nama yang direka penjajah ini terus diguna pakai di seluruh dunia.

Apabila negara yang dijajah ini merdeka maka nama asal kembali digunakan. Bombay menjadi Mumbai. Rhodesia menjadi Zimbabwe. Batavia menjadi Jakarta.

Penjenamaan semula juga memberikan permulaan yang bersih selepas kemerdekaan. Sikap nyah penjajah di Afrika membawa banyak perubahan nama negara.

Bechuanaland menjadi Botswana, Nyasaland dinamakan semula sebagai Malawi, Gold Coast ditukar kepada Ghana dan negara yang secara rasmi dikenali sebagai Upper Volta muncul sebagai Burkina Faso.

Nama negara ini memberi definisi jati diri dan siapa pemilik asal bumi tersebut.

Justeru masyarakat dunia mengenal Ireland. Land bermakna tanah. Maka Ireland adalah tanah Irish. Finland bererti tanah milik orang Fin. Scotland bermakna tanah milik orang Scott.  England bermakna tanah milik orang English.

Kita lihat tetangga kita menamakan negara mereka daripada Siam kepada Thailand. Thai ini adalah warga asal negara yang kita panggil Siam. Thai juga membawa makna bebas, maka nama Thailand ini membawa makna bumi Thai yang bebas.

Semua negara ini bangga dengan nama dan jati diri mereka. Nama pemberian kuasa kolonial dibenamkan. Nama asal usul dimunculkan.

Dari sini saya menimbulkan soalan. Ada apa dengan nama Malaysia?

Ramai tidak tahu atau ramai lupa nama asal Semenanjung Malaysia ialah Tanah Melayu – Malayland. Ini sama taraf dengan Thailand, Finland atau Ireland – maknanya tanah dan bumi itu berasal usul dan milik Bani Melayu.

Apa telah terjadi? Kenapa jadi Malaysia? Kenapa kita tidak terus menamakan diri kita Tanah Melayu? Tidak terus menjadi Malayland kalau diinggeriskan? Walhal Tanah Melayu ini adalah asal usul pensejarahan tanah air kita.

Saya masih ingat lagi zaman tanah air kita ini pernah dipanggil  Persekutuan Tanah Melayu. Saya ingat lagi menerima surat yang menggunakan alamat PTM – Persekutuan Tanah Melayu.

Apa terjadi? Kenapa Bani Melayu bersedia meninggalkan nama asal usul bumi milik mereka? Walhal negara lain setelah penjajah berundur mereka dengan bangga menggunakan nama jati diri mereka.

Kita di Tanah Melayu membuat perkara songsang.

Pada hemat saya ini adalah salah satu jenayah besar yang dilakukan United Malays National Organisation. Parti ini adalah parti tajaan penjajah Inggeris yang menukar nama Tanah Melayu ini.

Ada apa pada nama? Apakah menukar nama satu jenayah? Tunggu pencerahan minggu hadapan. Amin. – 8 Jun, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen