2 rakan bebas tuduhan edar, miliki dadah 


SEORANG ejen pelancongan dan rakan wanitanya hari ini menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas serta membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lepas.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Amirul Irfan Tamby Sudeen, 32, dan warga Indonesia Sulaiha Setyawati, 30.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata adalah menjadi tugas pendakwaan untuk mengemukakan keterangan bagi menunjukkan bahawa individu lain mempunyai akses sebelum serbuan dilakukan ke atas sebuah bilik di mana dadah terbabit dijumpai.

“Oleh kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kemungkinan terdapat akses individu lain ke atas premis itu maka tidak boleh dikatakan hanya tertuduh pertama dan kedua yang mempunyai akses ke atas premis tersebut,” katanya.

Amirul Irfan dan Sulaiha didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Sentul Perdana di Kuala Lumpur pada 6 petang 23 Jun 2021.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala peguam Hariharan Tara Singh mewakili kedua-dua tertuduh. – Bernama, 6 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen