Singapura teruskan hukuman gantung banduan terlibat dadah 


Singapura mempunyai beberapa undang-undang anti-narkotik paling ketat di dunia dan menegaskan hukuman mati kekal sebagai penghalang yang berkesan terhadap pemerdagangan. – Gambar EPA, 26 April, 2023.

SINGAPURA pada Rabu melaksanakan hukuman gantung sampai mati banduan yang disabitkan dengan konspirasi menyeludup 1kg ganja, kata pihak berkuasa, tanpa menghiraukan gesaan antarabangsa supaya republik itu memansuhkan hukuman mati.

Pelaksanaan hukuman mati itu dijalankan walaupun terdapat rayuan oleh Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar Singapura “pertimbang semula dengan segera” hukuman gantung itu dan gesaan taikun Britain Richard Branson untuk menghentikannya.

“Rakyat Singapura, Tangaraju Suppiah, 46, menjalani hukuman mati hari ini di Kompleks Penjara Changi,” kata jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura kepada AFP.

Tangaraju disabitkan pada 2017 kerana “bersubahat dengan terlibat dalam konspirasi mengedar” 1,017.9 gram (35.9 auns) ganja, dua kali ganda jumlah minimum yang diperlukan untuk hukuman mati di Singapura.

Dia dijatuhi hukuman mati pada 2018 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Branson, ahli Suruhanjaya Global Dasar Dadah yang berpangkalan di Geneva, menulis pada Isnin di blognya yang Tangaraju “tidak terlibat dengan dadah ini pada ketika penahanannya” dan Singapura mungkin akan membunuh seorang lelaki tidak bersalah.

Kementerian Dalam Negeri Singapura menjawab pada Selasa yang kesalahan Tangaraju dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Kementerian berkata dua nombor telefon bimbit yang menurut pendakwa raya miliknya digunakan untuk menyelaraskan penghantaran dadah itu.

Hab kewangan Asia itu mempunyai beberapa undang-undang anti-narkotik paling ketat di dunia dan menegaskan hukuman mati kekal sebagai penghalang yang berkesan terhadap pemerdagangan.

Bagaimanapun, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB tidak bersetuju.

“Hukuman mati masih digunakan di sebilangan kecil negara, sebahagian besarnya kerana mitos ia menghalang jenayah,” kata OHCHR dalam satu kenyataan Selasa.

Keluarga Tangaraju merayu memohon pengampunan sementara turut mendesak perbicaraan semula.

Pelaksanaan hukuman pada Rabu adalah yang pertama dalam tempoh enam bulan dan ke-12 sejak tahun lalu di negara itu.

Singapura meneruskan hukuman mati pada Mac 2022 selepas berehat lebih daripada dua tahun.

Antara yang dihukum gantung ialah Nagaenthran K. Dharmalingam, yang pelaksanaannya mencetuskan bantahan global, termasuk daripada PBB dan Branson, kerana dia dianggap mempunyai kecacatan mental.

PBB berkata hukuman mati tidak terbukti sebagai penghalang yang berkesan di peringkat global dan tidak serasi dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, yang hanya membenarkan hukuman mati bagi jenayah paling serius. – AFP, 26 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen