Lebih 40 maut akibat banjir, tanah runtuh di Haiti


Cuaca buruk melanda tujuh daripada 10 bahagian di Haiti yang sedang mengalami krisis kemanusiaan sejak sekian lama susulan keganasan geng, keruntuhan politik dan kemerosotan ekonomi. – Gambar Facebook, 6 Jun, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 42 orang maut dan 11 hilang di Haiti selepas hujan lebat pada hujung minggu menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kata pegawai perlindungan awam pada Isnin.

Cuaca buruk melanda tujuh daripada 10 bahagian di negara ini yang sedang mengalami krisis kemanusiaan sejak sekian lama susulan keganasan geng, keruntuhan politik dan kemerosotan ekonomi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hujan lebat menjejaskan 37,000 orang dan menyebabkan 13,400 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bandar Leogane, terletak 40km barat daya ibu negara Port-au-Prince, terjejas teruk, dengan kerosakan disebabkan oleh tiga sungai yang dinaiki air.

Sekurang-kurangnya 20 orang meninggal dunia di sana, menurut pegawai Haiti.

“Penduduk terdesak. Mereka kehilangan segala-galanya. Air telah merosakkan ladang dan menghanyutkan ternakan mereka,” kata Datuk Bandar Leogane, Ernson Henry kepada AFP.

Ribuan keluarga terjejas di bandar itu, katanya sambil menegaskan penduduk amat memerlukan makanan, air minuman dan ubat-ubatan.

Banjir itu menyebabkan kerosakan material yang meluas di seluruh negara, memusnahkan ratusan rumah dan beberapa jalan raya.

“Walaupun ia bukan taufan atau ribut tropika, kerosakan di kawasan terjejas adalah besar,” kata Jean-Martin Bauer, penyelaras tindakan kemanusiaan PBB di Haiti.

Perdana Menteri Ariel Henry mengaktifkan Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan sebagai tindak balas.

Angka kematian yang besar itu menyerlahkan kelemahan negara terhadap bencana alam dan kegagalan mengurangkan risiko ribut sebaik sahaja musim taufan bermula.

Malah sebelum banjir, hampir separuh daripada penduduk Haiti memerlukan bantuan kemanusiaan, angka yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun sahaja, menurut PBB. – AFP, 6 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen