Angka kematian akibat ribut Brazil cecah 50 orang


Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang maut di negeri Sao Paulo, Brazil. – Gambar AFP, 24 Februari, 2023.

PIHAK berkuasa Brazil berkata pada Khamis jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di tenggara negara itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 50 orang, dengan pekerja kecemasan meneruskan pencarian.

“Semakin banyak masa berlalu, semakin kecil kemungkinan untuk mencari mangsa yang terselamat. Tetapi kami terus berusaha. Selalunya ada poket udara di bawah runtuhan,” kata pegawai kecemasan Villas Boas kepada laman berita G1.

Menurut kerajaan negeri Sao Paulo, berpuluh-puluh orang masih hilang selepas bencana itu.

Ribut hujung minggu lalu membawa hujan lebat dalam tempoh 24 jam di bandar peranginan pantai yang indah di Sao Sebastiao dan wilayah sekitarnya, mencetuskan banjir ganas dan tanah runtuh yang memusnahkan komuniti lereng bukit.

Gabenor Sao Paulo, Tarcisio de Freitas mengakui sistem amaran cuaca rasmi gagal mengelak tragedi itu.

“Kami menghantar 2.6 juta makluman melalui mesej teks, tetapi seperti yang kami lihat, itu tidak berkesan,” katanya.

“Musim hujan akan datang, akan ada siren untuk memberi amaran kepada orang ramai di kawasan berisiko tinggi.”

Dianggarkan 9.5 juta daripada 215 juta penduduk Brazil tinggal di kawasan berisiko tinggi banjir atau tanah runtuh—terutamanya kawasan kejiranan yang miskin.

Negara Amerika Selatan itu dilanda beberapa siri bencana cuaca yang membawa maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang menurut pakar berkemungkinan bertambah buruk oleh perubahan iklim. – AFP, 24 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen