Terengganu dicadang wujudkan perbadanan lindungi projek pelancongan negeri


Diyana Ibrahim

Terengganu perlu perbadanan pelancongan bagi melindungi projek dan aset pelancongan negeri daripada tekanan politik, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

TERENGGANU perlu menubuhkan sebuah perbadanan pelancongan bagi melindungi projek dan aset pelancongan negeri daripada tekanan politik yang akhirnya merugikan ekonomi negeri, kata pemain industri.

Mereka yakin perbadanan seumpama itu boleh melindungi kepentingan pelancongan Terengganu daripada masalah yang berbangkit susulan pertukaran kerajaan atau kepimpinan negeri.

Seorang pengusaha pelancongan yang hanya mahu dikenali dengan nama Razali berkata, cadangan itu pernah dibuat sebelum ini tetapi dipandang sepi oleh kerajaan negeri.

“Kita pernah usulkan cadangan ini, sebab banyak kali berlaku sangat situasi projek pelancongan menjadi projek sakit akibat daripada tekanan politik.

“Bila tak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan negeri jadi industri kita akan lari daripada kesan negatif politik kerana dasar semi kerajaan ini maka akan teruskan juga projek walaupun kerajaan bertukar,” katanya.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan keluhan pengusaha pelancongan di Terengganu mengenai ketidakstabilan politik negeri yang memberi kesan kepada pembangunan industri.

Mereka memberi contoh cadangan status zon bebas cukai di Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Terengganu yang terbengkalai kerana pertukaran menteri besar dan kemudian pentadbiran kerajaan daripada BN kepada PAS.

Razali berpendapat siapa pun jadi kerajaan negeri, pentadbiran itu mesti lebih agresif untuk memajukan pelancongan negeri.

Mengenai pentadbiran PAS yang menggantikan BN sejak Mei 2018, beliau melihat ia hanya meneruskan projek lama.

“Setakat ini kita tak nampak projek atau produk pelancongan baharu betul daripada pentadbiran. Kerajaan negeri ini banyak menyambung projek lama sahaja macam jambatan angkat di Kuala Nerus,” katanya.

Beliau bagaimanapun memuji dasar kerajaan PAS yang mengembangkan pelancongan berasaskan masyarakat yang memberi peluang pendapatan kepada penduduk setempat.

“Kita tahu pelancongan di Terengganu ini sangat berpotensi tinggi. Semua daerah di Terengganu ini sebenarnya mempunyai produk pelancongan yang boleh dijadikan tarikan,” katanya.

Bagaimanapun Razali yang aktif menggerakkan pelancongan komuniti berkata, kerajaan negeri perlu lebih agresif termasuk perlu melatih dan memberi sistem sokongan kepada penduduk kampung untuk meneroka peluang yang ada.

Tambahan pula, Terengganu bakal mempunyai laluan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

“Tapi persoalannya adakah kita bersedia berdepan dengan transformasi itu. ECRL ini akan mengubah sektor pelancongan 100% kerana antara kekangan pelancongan di negeri ini kerana akses yang jauh.

“Tapi kalau masih dengan pemikiran lama, tidak perbaiki kelemahan tidak ada hala tuju jelas dalam pelancongan jadi pembangunan yang ada itu hanya akan sia-sia sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berharap kerajaan negeri akan mengembangkan sektor pelancongan dengan meningkatkan pembangunan hotel untuk kemudahan ramai.

“Kalau ikutkan di bandar Terengganu kita tak punya hotel yang mencukupi untuk tampung pelancong. Tidak seperti Melaka negeri kecil sahaja tapi berapa banyak hotel yang mereka ada.

“Kualiti hotel di Terengganu juga tidak begitu memuaskan dan banyak aduan daripada pelancongan berkenaan isu ini,” katanya.

Sementara itu, pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir, Zalani Endut yakin sektor pelancongan di Terengganu boleh berkembang dengan baik.

Katanya, banyak projek yang dibangunkan di negeri itu memakan kos yang tinggi namun akhirnya terbiar begitu sahaja.

“Kalau di Tasik Kenyir ini ada banyak pulau yang dibangunkan produk pelancongan seperti Taman Rambutan, Taman Tropika, Taman Heliconia, Taman Botani, dulu dibuat tapi sekarang terbiar begitu sahaja.

“Disebabkan tidak ada penyelenggaraan dibuat akhirnya jadi pembaziran sahajalah,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri atau jabatan pelancongan membangunkan semula pulau tersebut.

“Sangat sayang dibiarkan begitu sahaja, jadi saya buat permohonan untuk ambil alih pengurusan Taman Burung dan Taman Rama-Rama.

“Tapi saya tidak mampu nak ambil alih semua pulau terbiar di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga perlu menambah baik infrastruktur dan prasarana di kawasan pelancongan negeri.

Sebagai contoh katanya prasarana di Tasik Kenyir masih tidak memuaskan.

“Macam kita sebagai pengusaha sangat susah, kita nak tarik pelancong tapi prasarana sangat menyedihkan di sini,” katanya. – 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen