Kerajaan sekat laman web, portal cetus kekecohan sebelum PRU14


Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak

KERAJAAN akan menyekat mana-mana portal dan laman web yang menyebarkan maklumat sehingga mencetuskan kekecohan sebelum pilihan raya umum 14 (PRU14), kata Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau dan mengenal pasti laman web dan portal yang bertujuan sedemikian.

“Sudah tentulah mana-mana yang melanggar undang-undang kita akan menyekat mereka sekiranya mereka didapati melakukan kekecohan dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Setakat ini tiada sebarang laporan telah dibuat mengenai laman web dan portal yang membuat serangan mengejut.

“Kita sentiasa membuat pantauan dari masa ke semasa dan kita akan tunggu dokumentasi daripada pihak bertanggungjawab untuk menyekat laman web dan portal berkenaan sekiranya perlu,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Ia melibatkan pelanggaran hak cipta mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada akhir tahun lalu berkata pihaknya akan mempergiatkan usaha memantau penyebaran berita palsu berbaur fitnah terhadap kerajaan menjelang PRU14.

Pada bulan ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari berkata, media asing menyiarkan berita palsu tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mahu mencemarkan nama baik Perdana Menteri Najib Razak menjelang pilihan raya.

Jailani memberi amaran kepada media asing supaya menghentikan penyiaran berita palsu mengenai 1MDB yang terpalit skandal hutang dan dakwaan wangnya dirompak dan digunakan untuk membeli kapal mewah dan menerbitkan filem.– 23 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen