Wanita ditahan 3 hari kes kematian ‘baling kerusi’


Muzliza Mustafa

S. Kasthuriva meratapi kematian anak bongsunya, Satishwaran Sathiasilan akibat terkena kerusi yang dibaling dari tingkat atas PPR Seri Pantai, Pantai Dalam pada Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2018.

SEORANG wanita berusia 23 tahun ditahan minggu lalu berhubung kematian Satishwaran Sathiasilan, yang maut selepas terkena kerusi dilempar dari tingkat 21 di rumah kos rendah di Kuala Lumpur pada Januari.

Wanita itu ditahan susulan hasil laporan kimia yang diperoleh, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim.

Suspek ditahan reman tiga hari hingga 16 Mac bagi membantu siasatan tetapi dibebaskan selepas lulus ujian pengesan bohong.

Suspek dibebaskan dengan bon mahkamah selepas tempoh remannya tamat, kata Mazlan dalam satu kenyataan.

Kes itu masih dibuka.

Pada 15 Januari, Sathiswaran, 14, mati selepas terkena kerusi yang dibuang dari tingkat atas PPR Seri Pantai di Pantai Dalam.

Remaja itu meninggal dunia serta-merta kerana kecederaan serius di kepalanya dalam insiden jam 8.15 malam itu.

Polis mengambil kenyataan 43 saksi dan analisis tekanan suara digunakan terhadap lima suspek tetapi keputusan negatif.

Bapa Sathiswaran, K. Sathiasilan memberitahu The Malaysian Insight bahawa keluarganya tidak tahu tentang siasatan kes berkenaan. – 23 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen