Polis cari individu lempar kerusi, kematian Satishwaran jadi kes bunuh


Muzliza Mustafa Ravin Palanisamy

Pemandangan daripada tingkat atas PPR Seri Pantai, Pantai Dalam yang merupakan lokasi budak sekolah terbunuh dihempap kerusi. Kerusi yang dibaling dari tingkat atas PPR berkenaan terkena mangsa menyebabkan mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Januari, 2018.

INDIVIDU yang bertanggungjawab membaling kerusi pejabat dari tingkat 21 sebuah rumah pangsa sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar kini berdepan tuduhan membunuh, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata kes itu yang pada awalnya disiasat sebagai membunuh tanpa niat sekarang sudah diklasifikasikan semula sebagai bunuh. Suspek, sekiranya disabitkan tuduhan, berdepan hukuman mati mandatori.

Polis sedang cuba mengenal pasti suspek dan proses itu mengambil sedikit masa kerana pegawai forensik gagal menemui sebarang tanda cap jari pada kerusi yang menghentam Satishwaran Sathiasilan, 14, dan membunuhnya serta merta.

“Kita tidak dapat sebarang cap jari pada kerusi. Kita sedang menyiasat beberapa petunjuk lain untuk memburu suspek,” kata Rusdi.

Beliau menambah polis sudah menyoal siasat beberapa penghuni rumah pangsa dan siasata sedang diteruskan.

Ketika kejadian, mangsa bersama ibunya sedang berjalan hendak balik ke unit kediaman mereka di tingkat 16 di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam. 

Pelajar SMK La Salle, Brickfields itu terbunuh serta merta akibat kecederaan pada kepala.

Ibu saudara mangsa, Vijayalaxhmi Sattayapan, menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak menguruskan dua blok rumah pangsa PPR Sri Pantai dengan betul.

Menurut Vijayalaxhmi, keluarganya sejak beberapa tahun lalu merungut tentang keadaan rumah pangsa itu yang uzur dan DBKL, katanya, tidak peduli soal keselamatan atau penyelenggaraan rumah pangsa berkenaan.

“Kalau pasal sewa, mereka cepat datang. Sewa di sini RM124 sebulan. Kalau tak bayar dua bulan, pegawai akan datang untuk beri notis dan potong bekalan air.

“Bagi mereka itu isu lebih besar berbanding keselamatan penduduk,” kata Vijayakalaxhmi antara esak tangis meratapi kematian mengejut anak saudaranya.

Ibu saudara mangsa, Vijayalaxhmi Sattayapan, menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak menguruskan rumah pangsa itu dengan betul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Januari, 2018.

Tambah beliau, ini bukan kejadian yang pertama seumpamanya barang dibuang dari tingkat atas. Katanya, sebelum ini pernah ada orang mencampakkan bata dan perabot rosak.

“Kali ini kerusi dan ada orang mati. Saya harap pihak berkuasa dapat cari penyelesaian sebelum benda sama berulang lagi,” kata surirumah itu.

Abang Sathiswaran, Yogeswaran, 18, berkata penduduk rumah pangsa itu tidak akan ambil apa-apa pengajaran daripada apa yang berlaku dan akan mengulanginya lagi, kecuali ada tindakan tegas diambil.

“Orang di sini tak akan berubah. Mereka akan terus baling barang dari koridor. Macam-macam benda baling… sampah, tuala wanita, air kencing dalam beg plastik pun ada. 

“Tak akan ada perubahan melainkan pihak berkuasa beri pengajaran,” tambahnya.

“Sesetengah penduduk malas sangat nak buang sampah ke tempat pembuangan sampah di tingkat bawah, jadi mereka tinggalkan di koridor.

“Perangai itu hari ini membunuh adik saya kerana ada orang yang baling kerusi yang dibuang di koridor,” kata abang mangsa itu.

Menurut Yogeswaran, adiknya seorang yang ceria dan kehilangannya akan dirasai oleh banyak orang.

“Dia ini dah macam anak orang lain juga. Tak ada siapa dapat terima dia mati macam itu. Emak saya tengok semuanya. Dia trauma.”

Walaupun rumah pangsa itu baru-baru ini dicat semula, ia masih tidak diselenggara dengan baik. Lifnya rosak. Sampah bertaburan di merata tangga yang juga berbau hancing.

Vijayalaxhmi juga mendakwa ibu Sathiswaran, Kasthuribai, 45, sudah beberapa kali mengadu kepada DBKL akan keadaan unitnya tetapi tidak diendahkan.

“Pintu bilik air rosak. Dinding retak. Kalau hujan, air masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sathiswaran dibela oleh ibunya yang bekerja di sebuah restoran sementara abangnya baru mula bekerja di sebuah pawagam. Bapanya sebelum ini jadi pengawal keselamatan tetapi diberhentikan kerja bulan lalu. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen