Perikatan hantar 3 soalan untuk PM jawab di Parlimen minggu depan


PN hantar tiga soalan untuk dijawab Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat minggu depan, termasuk satu yang menyentuh isu kalimah Allah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) menghantar tiga soalan untuk dijawab Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat minggu depan, termasuk satu yang menyentuh mengenai isu kalimah Allah.

“Soalan ini dihantar Sekretariat Parlimen Parti PN kepada setiausaha Dewan Rakyat pada 1 Jun, 2023 untuk dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada 6 Jun, 2023,” kata sekretariat dalam satu kenyataan hari ini.

Soalan yang akan dijawab perdana menteri pada sesi pertanyaan setiap Selasa bagaimanapun akan disenarai pendek dan dipilih pihak kerajaan.

Sekretariat Parlimen PN memberitahu soalan mengenai isu kalimah Allah dikemukakan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, yang juga bekas menteri Parlimen dan undang-undang.

Dalam soalannya, Takiyuddin meminta perdana menteri memperincikan proses kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah Allah baru-baru ini.

“Bilakah tarikh rundingan dan rujukan kepada Majlis Raja-Raja Melayu, sama ada sebelum atau selepas tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanakah kaedah rujukan kerajaan dengan Majlis Raja-Raja Melayu dalam hal penarikan rayuan kes tersebut,” katanya.

Satu lagi soalan dikemukakan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Md Jidin mengenai kesan kejatuhan nilai ringgit kepada proses pemulihan ekonomi negara serta pendekatan kerajaan untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Soalan terakhir datang daripada Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim menyentuh isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Kementerian Pertahanan.

“Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek LCS?,” soalnya.

Beliau selanjutnya bertanya kewajaran kerajaan menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan kontrak tambahan baharu meningkat sehingga RM 11.2 bilion sedangkan bilangan kapal yang perlu disiapkan dikurangkan kepada lima sahaja.

Sebelum ini, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tahun lalu mendedahkan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan itu turut menyenaraikan sembilan rumusan punca kepincangan keseluruhan projek bernilai RM9 bilion. – 2 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen