Polis Kedah tambah anggota hadapi PRN


POLIS Kedah dijangka menambah bilangan anggotanya yang terlibat secara langsung bagi mengawal perjalanan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata selain kekuatan anggota sedia ada pihaknya akan mendapatkan bantuan Bukit Aman dan negeri yang bersempadan dengannya seperti Perlis dan Perak.

“Pada pilihan raya umum lepas, lebih 3,000 anggota kita terlibat secara langsung bagi mengawal keselamatan dan perjalanan proses pilihan raya tapi bagi PRN kali ini, kita jangka akan menambah 20 peratus lagi kekuatan untuk pastikan kita dapat seimbangkan dengan tugas-tugas kita yang lain.

“Kita pun sudah berhubung dengan Bukit Aman, pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dan sebagainya, jadi kita akan banyak guna pakai elemen Pasukan Gerakan Am untuk kawalan di lokasi tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wirawati Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Beliau berkata lebih 50 lokasi di seluruh negeri dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ pada PRN kali ini dan akan diawasi bagi mengekang sebarang elemen ganggu-gugat yang boleh mengancam keselamatan orang ramai dan proses pilihan raya.

Wan Hassan berkata walaupun tumpuan diberikan bagi memastikan PRN berjalan lancar namun pihaknya tidak akan mengabaikan tugas lain berkaitan keselamatan khususnya yang membabitkan kawalan sempadan dan aktiviti jenayah.

“Polis juga mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas PRN bagi mengesan sebarang perkara yang boleh menimbulkan ketegangan yang berisiko mengganggu-gugat perjalanan pilihan raya dan akan mengambil tindakan awal berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Abdul Shukur Abdullah pula berkata kempen itu merupakan program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertujuan menjaga kesejahteraan serta memartabatkan kaum wanita.

“Kita sasarkan seramai 1,200 wirawati polis di Kedah akan menjalankan pemeriksaan ini secara percuma. Di peringkat kementerian, kita lihat wirawati ini adalah yang perlu kita lindungi dan jaga kebajikan mereka,” katanya. – Bernama, 31 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen