Polis gesa penganjur batalkan ‘Gang Bang JB Party’


Polis Johor akan mengambil tindakan tegas sekiranya acara ‘Gang Bang JB Party’ tetap diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2023.

POLIS Johor mahu penganjur ‘Gang Bang JB Party’ membatalkan acara itu sambil memberi amaran tindakan akan diambil sekiranya ia tetap diteruskan.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat memberitahu penganjur supaya tidak meneruskan acara itu dan tidak melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Kami memberi amaran kepada penganjur untuk membatalkan acara itu. Kami juga akan memantau secara berterusan acara haram dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jemputan untuk acara itu tular di media sosial yang dijadualkan diadakan di JB pada 20 Jun dari 4 petang hingga 9 malam.

Sehingga kini penganjur acara berkenaan masih tidak dikenal pasti.

Acara itu dikatakan terbuka kepada semua kaum dan ‘bebas penyakit dan dadah’ tetapi tiada gambar atau rakaman video dibenarkan.

Kamarul Zaman berkata acara itu jelas menyalahi undang-undang.

Beliau juga berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 292(e) Kanun Keseksaan dan bagi kesalahan menular melalui media sosial dan akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau menggesa orang ramai untuk berkongsi maklumat berkaitan penganjur atau parti dengan polis.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan atau mengancam ketenteraman awam,” katanya. – 28 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen