RUU kawalan produk merokok dibentang awal Jun, kata timbalan menteri


Pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja meningkat sebanyak 14.9% kepada 307,109 orang tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berharap Rang Undang-Undang (RUU) kawalan produk merokok demi kesihatan awam 2023 yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok, dibentangkan pada persidangan Parlimen awal Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata RUU berkenaan amat penting bagi melindungi kesihatan generasi muda dan ia merangkumi dua perkara utama iaitu kawalan terhadap produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok.

“RUU berkenaan sebelum ini tidak sempat dibentangkan dalam sidang Parlimen sebelum ini kerana berlaku pembubaran kerajaan sebelum ini namun KKM akan memastikan komitmen untuk membawa RUU kawalan produk merokok demi kesihatan awam 2023 bagi bacaan kali pertama akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan diadakan selepas cuti Hari Kaamatan dan Hari Gawai.

“Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) juga membawa kertas RUU berkenaan ke Kabinet minggu lalu dan saya dimaklumkan Kabinet bersetuju untuk KKM membawa RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Tembakau Sedunia 2023 peringkat kebangsaan yang turut dihadiri Exco kesihatan, sumber manusia dan perpaduan negeri Melaka, Ngwe Hee Sem dan pengarah kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata pelaksanaan RUU berkenaan perlu disegerakan kerana berdasarkan kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS), pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9% kepada 307,109 orang tahun lalu berbanding 9.8% atau 211,084 orang pada 2017.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah statistik pada tahun lalu, sebanyak 242,849 pengguna terdiri dalam kalangan remaja lelaki manakala 64,260 orang remaja perempuan.

“Peningkatan jumlah pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja amat membimbangkan, justeru bagi mengatasi isu dan masalah penggunaan produk merokok terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kawalan undang-undang perlu diperkukuh melalui RUU berkenaan.

“Ini kerana remaja dan kanak-kanak pada masa kini sangat terdedah dengan lambakan dan tarikan pelbagai jenis produk merokok dan menerusi RUU berkenaan ia diharap dapat mencegah generasi muda daripada memulakan tabiat merokok,” katanya. – Bernama, 31 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen