Malaysia sasar 1,000 pakar O&G menjelang 2030, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ketika ini hanya terdapat 667 orang pakar O&G di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM). – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2023.

MALAYSIA masih kekurangan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni yang menurutnya ketika ini hanya terdapat 667 orang pakar O&G di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Lukanisman berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan KKM dalam penghasilan pakar O&G bagi memenuhi standard nisbah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu 23.7 bagi setiap 100,000 wanita serta menutupi kelompongan dalam O&G di hospital KKM seluruh negara.

Beliau berkata KKM sedang berusaha menyediakan 155 pakar O&G pada setiap tahun termasuk melalui pengambilan pelajar Sarjana O&G.

“Sasaran kita (KKM) adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 orang pakar O&G di fasiliti KKM menjelang 2030,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Kongres O&G KKM 2023 yang bermula hari ini hingga 21 Mei di Putrajaya hari ini. – Bernama, 19 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen