Bolehkah tahaluf siyasi PAS dan kerajaan perpaduan berlaku? 


Fakhrurrazi Rashid

PAS mungkin mula sedar kerjasama dengan Bersatu dalam PN tidak bertahan lama kerana pemimpin parti itu terpalit dengan ‘kluster mahkamah’ dan tidak mampu menarik sokongan pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menyatakan terdapat beberapa pihak menawarkan parti Islam itu menyertai kerajaan perpaduan baru-baru ini. 

Beliau mendakwa tawaran ini berlaku kerana kerajaan perpaduan tidak kukuh kerana hilang sebahagian besar sokongan orang Melayu.  

Hadi turut menyentuh PAS perlu diletakkan di barisan hadapan (baca: menjadi menteri Kabinet) sekiranya menyertai kerajaan perpaduan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berbanding parti lain.

Dari sudut yang berbeza beliau turut menyatakan beberapa bekas pemimpin dan wakil rakyat Umno akan menyertai PAS dalam masa terdekat.  

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan PAS jangan “nak perasan” ada orang menawarkan parti itu menjadi sebahagian kerajaan perpaduan. Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan kenyataan Hadi secara bulat-bulat.  

Begitulah dinamik politik Malaysia yang berubah dengan pantas. 

PAS yang vokal mengkritik kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim kini juga terpaksa menjual cerita tawaran ini untuk kekal relevan dalam permainan politik menuju pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. 

Sebelum ini, terdapat dua peristiwa yang menimbulkan persoalan tentang perkembangan semasa PAS. 

Pertama, pertemuan PAS dan Dr. Mahathir Mohamed bagi menyokong Proklamasi Melayu. Kedua, pertemuan AJK PAS pusat dan putera Nik Aziz, Nik Muhammad Abduh dan abangnya, Nik Omar bersama perdana menteri. 

PAS sudah sedar?

Meskipun perjumpaan ini bezanya seperti langit dan bumi nilainya, ia menunjukkan PAS sedang mencari hala tuju dan kawan dalam politik. Mungkin PAS sedang memulakan tahaluf siyasi baharu dalam menjenamakan semula politiknya. 

Ada kemungkinan, PAS mula sedar kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) tidak bertahan lama kerana pemimpin parti itu terpalit dengan “kluster mahkamah” dan tidak mampu menarik sokongan pengundi Melayu. 

Wan Ji Wan Hussin yang turut hadir dalam pertemuan antara Nik Abduh dan Anwar Ibrahim menyatakan harapan perdana menteri untuk memperkukuhkan ukhuwah bersama Presiden PAS walaupun di peringkat ruang politik, isu-isu kaum dan agama sering dijadikan kempen parti itu.

Hasrat ini menunjukkan jiwa besar perdana menteri dalam mengekalkan ukhwah sesama rakan pemimpin yang lain. 

Sosok Anwar Ibrahim dan PAS sebenarnya amat rapat dan bukan sesuatu hubungan yang janggal. 

Hubungan rapat Anwar bersama pemimpin kanan PAS seperti Fadzil Noor, Nik Aziz Nik Mat dan beberapa individu yang lain sebenarnya mencipta satu gerakan Islah dan politik yang mengubah landskap politik negara dalam menggugat hegemoni Umno. 

Gerakan Reformasi yang tercetus akibat pemecatan Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno membantu PAS memenangi kerusi Parlimen dalam PRU10 pada 1999. 

Kerusi Dewan Rakyat PAS bertambah dari tujuh kerusi pada 1995 kepada 27 kerusi pada 1999. 

PAS juga dapat memenangi Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) dan mengurangkan jumlah share vote Umno di kerusi majoriti Melayu, termasuklah di Kedah dan Perlis. 

PRU10 menyaksikan PAS akan berpeluang mendapatkan undi Melayu dalam keadaan Umno atau BN berada dalam kedudukan yang lemah. 

Trend ini turut berlaku pada PRU15 apabila PAS berjaya menambah 43 kerusi Parlimen jika dibandingkan 18 kerusi pada PRU14.

Kini, PAS sedang menguasai kawasan Malay Belt yakni Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu. Bukankah ini sama seperti PRU10? 

Hakikatnya tanpa gerakan reformasi, PAS mungkin perlu menunggu lebih lama untuk sampai ke tahap ini. 

Malah kerjasama Anwar dan Hadi dalam Pakatan Rakyat (PR) sekurang-kurangnya dapat membentuk kerajaan yang stabil dan progresif di peringkat negeri dari 2008 hinggalah terbubarnya PR pada 2015. 

Soft spot buat Anwar 

Kalau diikutkan nostalgia lama, impian Anwar menjadi perdana menteri membentuk kerajaan pusat dengan PAS, yakni rakan seperjuangan dalam Reformasi, lebih ideal berbanding Umno-BN. 

Namun takdir menentukan Anwar membentuk kerajaan dengan seteru politiknya sendiri. 

Anwar masih mempunyai soft spot dalam kalangan ahli PAS khususnya mereka yang pernah berada pada era 80-an dan 90-an.

Tidak hairan sekiranya sebelingan besar ahli PAS di peringkat akar umbi menyokong Anwar dalam diam. Sentimen ini berbeza dengan ahli PAS pasca reformasi dan golongan muda yang terputus cerita perjuangan PAS dan Anwar pada 1998.  

Mungkin, ini juga boleh dijadikan pintu membuka persaingan lebih sengit di negeri yang dikuasai PAS. 

Dan, walaupun sokongan itu bukan berbentuk undi sekalipun, sebilangan ahli PAS tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan Anwar sebagai perdana menteri. 

Reputasi Anwar yang lebih cermat dalam mengkritik PAS dan penganjuran majis ilmu yang menghimpunkan agamawan dalam dan luar negara, sedikit sebanyak boleh meyakinkan ahli PAS perdana menteri ikhlas dalam mengangkat Islam berteraskan pembudayaan ilmu.  

Sukar menghitung bagaimana tahaluf siyasi PAS dalam kerajaan perpaduan. Lebih baik jika kerajaan perpaduan dan PAS membuat perjanjian pembekalan dan kepercayaan (CSA) dalam usaha mengukuhkan kestabilan politik negara dalam tempoh jangka panjang.

Ini bermaksud, kedua-dua belah pihak menghormati peranan masing-masing atas kepentingan rakyat terbanyak, termasuk orang Melayu dan Islam.  

Mungkin ini sekadar angan-angan atau hasrat saya untuk mencari kestabilan politik dengan melihat kerjasama PAS dan kerajaan perpaduan dalam kerangka mengukuhkan kestabilan politik dan ekonomi negara. 

Jika perkara ini berlaku, sudah pasti keharmonian dalam berpolitik dapat dijaga denngan batas yang dipersetujui secara bersama demi kebaikan rakyat terbanyak. 

Sebaliknya, perbalahan PAS dalam menyerang isu politik kaum dan agama ke atas kerajaan perpaduan hanya membuka ruang perselisihan yang memualkan masyarakat kita. – 31 Mei, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen