Pasukan pengaman, penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran di Kosovo


Tentera KFOR menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan, menyebabkan berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak tentera di utara Kosovo pada Selasa. – Gambar AFP, 30 Mei 2023.

SEKURANG-kurangnya 25 pasukan pengaman Pasukan Kosovo (KFOR) pimpinan NATO dan 50 penunjuk perasaan Serbia cedera pada Selasa di utara Kosovo, semasa pertempuran berhubung pemilihan datuk bandar etnik Albania baru-baru ini, lapor United Press International.

Keganasan berlaku selepas penduduk Serbia tempatan berkumpul di hadapan bangunan perbandaran pada Sabtu sebagai membantah pemilihan datuk bandar Zvecan.

Pada Selasa, unit KFOR mengeluarkan amaran kepada para penunjuk perasaan agar bersurai.

“Anda menyebabkan kekacauan. Anda meletakkan diri dan komuniti anda dalam risiko…bersurai. Jika tidak, KFOR terpaksa campur tangan.”

Tentera KFOR menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan menyebabkan berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak tentera.

Lima penunjuk perasaan ditahan dan beberapa pegawai KFOR cedera.

NATO turut mengeluarkan kenyataan pada Selasa dan menyeru keganasan ditamatkan.

“NATO mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa provokasi terhadap tentera KFOR di utara Kosovo, yang telah menyebabkan beberapa daripada mereka cedera.

“Serangan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali. Keganasan mesti dihentikan serta-merta,” menurut NATO. – Bernama, 30 Mei 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen