Dr Mahathir, sosok ahli politik yang 'ada telur'


The Malaysian Insight

SUKA atau tidak, kita perlu tabik kepada Dr Mahathir Mohamad. Beliau tidak gentar berdepan dengan pengkritiknya.

Hari ini, ketika cerdik pandai dan pengkritiknya berbincang dan berbahas tentang umur serta tahap kecergasan beliau untuk sekali lagi jadi perdana menteri pada umur 93 tahun, bekas perdana menteri itu dengan tenang berjalan masuk ke dewan dan duduk di baris paling hadapan.

Penganjurnya terperanjat. Masakan tidak, mereka mengundang beliau datang tetapi tiada pengesahan beliau akan hadir mendengar ahli panel terdiri daripada pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff; pakar psikologi Dr Mat Saat Mohd Baki dan jurulatih kecergasan Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Malah isterinya pun, Dr Siti Hasmah Ali, datang sama dan duduk di sebelahnya mendengar ahli panel yang awalnya sedikit tergamam.

Ada beberapa cara, sopan atau kasar, untuk menggambarkan sikap Dr Mahathir. Dalam bahasa mudahnya, orang kata “ada telur”.

Beliau dua kali hadir di forum Nothing To Hide untuk berdebat dengan anak didik yang kini jadi musuh politiknya, Perdana Menteri Najib Razak yang bagaimanapun tidak datang atas alasan keselamatan.

Baru minggu lalu sahaja, Dr Mahathir berdepan dengan pengkritiknya dalam kalangan masyarakat India dalam sebuah acara anjuran Hindraf, kumpulan bertindak yang mendakwa dipinggirkan oleh kerajaan.

Pemimpin yang sudah mentadbir selama 22 tahun ini dan pernah digelar macam-macam termasuk “Mahafiraun” dan “Mahazalim” selepas beliau memecat anak didiknya Anwar Ibrahim, kini bersama-sama penentangnya melawan Najib.

Ironinya, musuh politik dan penentangnya itu sekarang menamakan beliau sebagai calon perdana menteri mereka sekiranya mereka menang pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.

Najib membayangkan pilihan raya akan diadakan lebih awal sebelum itu, dengan pemimpin kanan parti mendedahkan senarai calon Barisan Nasional akan diumumkan pada 2 April sementara manifesto parti itu pula lima hari kemudian.

Ada bayangan pilihan raya akan diadakan antara akhir April dan pertengahan Mei sebelum umat Islam mula berpuasa, dan ini menghangatkan debat tentang layak atau tidak Dr Mahathir jadi perdana menteri kalau pakatan yang diketuainya dapat menumbangkan kerajaan yang berkuasa sejak Merdeka.

“Tidak betul untuk buat andaian hanya kerana orang itu berumur 93 tahun, orang itu tidak boleh buat kerja,” kata Dr Mahathir kepada ahli panel wacana.

“Banyak orang hidup sehingga 100 tahun, masih boleh berfikir dan menggunakan otak,” tambah beliau. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kita lupa sejenak bila ade yang lebih prihatin dengan pembangunan negara berbanding yang terang bersuluh sudah hilang jati diri & menyimpang 360 darjah.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan