Lesen 2 syarikat bas ekspres digantung mulai 12 Jun


Pengendali bas ekspres dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang membabitkan keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2023.

LESEN pengendali dua syarikat bas ekspres yang terbabit dalam insiden kemalangan pada 12 dan 13 Mei lalu, SV Juta Sdn Bhd dan Syarikat Kejora Masyhur Sdn Bhd, digantung berkuat kuasa 12 Jun ini, kata Kementerian Pengangkutan.

Kementerian dalam kenyataan hari ini berkata penggantungan lesen pengendali itu dibuat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) selepas siasatan dijalankan terhadap insiden kemalangan membabitkan bas ekspres syarikat itu.

SV Juta digantung lesen pengendali selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Kejora Masyhur pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti yang tersenarai di bawah pemeriksaan dan audit keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sepanjang tempoh penggantungan, sebarang transaksi berhubung lesen pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Pada 12 Mei lalu, bas ekspres Starmart Express di bawah syarikat SV Juta berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), manakala pada 13 Mei pula bas ekspres TRA Xpress di bawah syarikat Kejora Masyhur berlanggar dengan dua lori di KM257.8 Plus arah selatan.

Kementerian berkata hasil siasatan APAD juga mendapati kedua-dua syarikat tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang ditetapkan, manakala semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat itu mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Tindakan yang dikenakan ke atas dua syarikat pengendali ini diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada pengendali lain untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang membabitkan keselamatan,” katanya. – Bernama, 29 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen