Azam Baki sedia jumpa Loke berhubung aduan salah laku tidak diendah


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki akan berjumpa dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagi memberi penjelasan berhubung laporan salah laku yang tidak diendahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2023.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki akan berjumpa dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagi memberi penjelasan berhubung laporan salah laku kakitangan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) yang tidak diendahkan.

“Kita bersedia beri kerjasama selain menyediakan penjelasan terperinci berhubung isu berkenaan,” kata Azam yang akan membuat temu janji dalam masa terdekat bagi mengadakan pertemuan dengan Loke.

Sebelum ini Azam dilaporkan berkata ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun SPRM mengesyorkan supaya tindakan diambil.

Laporan itu mengatakan sebanyak 553 laporan salah laku yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu masih belum diambil tindakan oleh ketua jabatan dengan laporan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu sebanyak 125 laporan diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Azam yang ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof di Sri Satria di Putrajaya hari ini berkata lebih 500 laporan itu adalah statistik aduan berkaitan salah laku yang dikeluarkan namun tidak diambil tindakan serius oleh kebanyakan jabatan.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan berjumpa Azam bagi mendapatkan penjelasan berhubung laporan tersebut serta menegaskan beliau memandang serius isu tersebut dan tidak akan berkompromi tentang salah laku sama ada di kementerian, jabatan atau agensi. – Bernama, 11 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen