Industri F&B beransur pulih namun pengusaha masih terkesan


Noel Achariam

Kebanyakan pengusaha kini berdepan masalah kos operasi yang tinggi berikutan peningkatan harga barangan dan tenaga kerja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2023.

INDUSTRI makanan dan minuman (F&B) menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lepas dengan pengusaha melihat perniagaan kembali rancak, kata Gabungan Pengusaha F&B Malaysia.

Pengusaha berkata pelanggan kini sering mengunjungi kedai mereka, bagaimanapun pendapatan mereka terjejas berikutan kos operasi yang tinggi.

Wakilnya Joshua Liew berkata kebanyakan perniagaan pengusaha meningkat sehingga 80%.

“Terdapat peningkatan ketara dalam perniagaan F&B, tetapi keuntungan adalah isu lain.

“Kami menjual lebih banyak, tetapi tidak mendapat keuntungan lebih. Ini disebabkan peningkatan kos produk makanan dan tenaga kerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Liew berkata, pada masa ini mereka mempunyai kira-kira 1,500 ahli yang beroperasi di lebih 10,000 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata, mendapatkan pekerja yang sangat diperlukan bukanlah mudah kerana pengusaha mencari tenaga mahir untuk menjadi kakitangan F&B terlatih.

“Terdapat gaji minimum dan pengusaha juga perlu membayar lebih untuk menarik minat mereka. Kami mencari pekerja yang berpengalaman dan mereka yang mempunyai apa yang diperlukan untuk melakukan kerja itu.

“Dari segi mendapatkan kakitangan, ia telah meningkat sedikit, saya boleh katakan 50% lebih baik berbanding tahun lepas.

“Dalam enam bulan terakhir tahun 2022 terdapat kekurangan pekerja yang teruk. Kami kini mencapai tahap yang mana kami boleh mencari orang untuk bekerja.”

Liew berkata dari segi makan di luar, mereka kembali kepada perniagaan pasca-pandemik dengan peningkatan pelanggan sehingga 80%.

“Secara keseluruhannya, orang ramai masih mengunjungi kedai, pusat beli-belah, restoran dan bar.”

Pengusaha gerai kurang untung

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Rosli Sulaiman berkata sektornya masih belum pulih kerana pengusaha gerai masih bergelut untuk mengaut keuntungan.

“Mereka masih boleh mengekalkan pelanggan mereka tetapi kos barangan yang tinggi menghalang mereka daripada mengaut keuntungan.

“Kami juga percaya kuasa membeli rakyat telah berkurangan. Harga barang naik tetapi gaji rakyat masih tidak stabil.

“Sebelum ini pelanggan mengambil banyak lauk, kini hanya ambil yang asas seperti sayur bersama ayam atau ikan. Tiada hidangan tambahan.”

Persatuan itu mempunyai kira-kira 1.8 juta ahli di seluruh negara yang mana 60% adalah dalam perniagaan makanan.

Beliau juga berkata ramai yang tidak makan di luar seperti tahun-tahun sebelumnya kerana mereka kini lebih berjimat.

Rosli berkata penurunan pelanggan mungkin antara 30% hingga 50%.

“Sekarang lebih ramai yang menyimpan dalam keadaan ekonomi ini dan lebih gemar makan di rumah. Malah di beberapa restoran, harga telah meningkat.

“Sebelum ini kita boleh mendapatkan hidangan antara RM7 hingga RM10 dengan minuman, tetapi kini antara RM13 hingga RM15.

“Bayangkan lima sekeluarga keluar makan. Berapa banyak yang akan mereka belanjakan?”

Beliau bagaimanapun berkata, penjaja tidak boleh menaikkan harga kerana akan kehilangan pelanggan jika berbuat demikian. – 29 Mei, 2023.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen