Harga barang mahal, pengguna berbelanja raya sederhana


Mereka juga cuba untuk tidak membeli dengan harga biasa sebaliknya akan memilih tempat yang menawarkan harga yang lebih murah supaya selari dengan kemampuan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2023.

HARGA barang yang mahal menyebabkan orang ramai terutama golongan berkeluarga berbelanja secara sederhana dan ala kadar sahaja bagi persiapan hari raya yang akan disambut dua minggu lagi.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka lebih ‘berkira- kira’ dalam berbelanja dengan memotong perbelanjaan yang dianggap tidak perlu.

Mereka juga cuba untuk tidak membeli dengan harga biasa sebaliknya akan memilih tempat yang menawarkan harga yang lebih murah supaya selari dengan kemampuan mereka.

Mohd Hafidz Rosni, 34 berkata beliau menyediakan peruntukan yang sama untuk persediaan raya setiap tahun tetapi jumlah itu rasa berbeza kali ini kerana kenaikan harga barang.

“Keadaan itu sangat berbeza pada tahun lepas kerana mereka dapat mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebenarnya peruntukan kami sama sahaja setiap tahun, biasanya dalam RM3,000.

“Cuma tahun lepas sahaja berbeza sikit sebab kita boleh keluar duit KWSP jadi dapatlah berbelanja lebih sedikit.

“Tahun ini pula peruntukan sama tapi dengan isu kenaikan harga barang ini RM3,000 itu memang tak cukup,” katanya.

Hafidz yang bekerja sebagai mekanik di bengkel kereta berkata beliau akan berbelanja mengikut peruntukan yang sama.

“Jika saya tambah peruntukan maksudnya akan jadi beban pada saya menggunakan kad kredit dan juga mengeluarkan sedikit simpanan bagi perbelanjaan raya,” katanya.

Untuk menguruskan peruntukan yang sama Hafidz berkata beliau akan memotong atau mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

“Sebagai contoh kalau tahun lepas saya beli dalam enam jenis biskut raya tahun ini saya kurangkan jadi empat jenis sahaja,” katanya.

Tinjauan UCSI baru-baru ini menunjukkan 89% daripada responden kaji selidik kos sara hidup ‘sangat bimbang’ dengan peningkatan kos sara hidup susulan inflasi yang terus meningkat.

Inflasi meningkat sebanyak 0.8% daripada 2.5% pada 2021 kepada 3.3% pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan.

Tinjauan melibatkan 1,031 orang dengan 59% daripada mereka mempunyai pekerjaan, 12% menganggur, 23% pelajar dan 6% pesara.

Tinjauan itu mendapati kebanyakan rakyat Malaysia merancang untuk mengurangkan perbelanjaan tahun ini dengan 33% menyatakan mereka akan mengurangkan perbelanjaan bulanan, 27% akan menyumbang kepada simpanan persaraan, manakala 27% lagi merancang untuk mewujudkan dana kecemasan.

Pekerja swasta Aznadia Azhar, 35 juga sama seperti Hafidz membuat persediaan raya secara sederhana.

Aznadia mengeluh kerana terbeban dengan perbelanjaan lebarannya yang tinggi tahun ini akibat kenaikan harga barang.

Katanya kenaikan harga barang itu tidak setara dengan gaji yang diperolehinya menyebabkan hanya dapat menyimpan sedikit sahaja bagi persiapan raya.

“Agak sukar juga sebab belanja raya tahun ini memang tinggi kerana barang tak murah.

“Walaupun kenaikan harga barang itu tak mendadak tapi harga tak turun maksudnya harga barang itu memang dah sedia mahal.

“Itu baru persiapan untuk barang raya. Sekarang kita juga terbeban dengan belanja sepanjang bulan puasa ini kerana barang makan memang mahal,” katanya.

Aznadia berkata kos paling tinggi bagi perbelanjaan rayanya ialah kos untuk balik kampung.

“Sebab bila raya memang perlu duit lebih untuk balik kampung termasuk duit makan, untuk servis kereta. Itu semua dah makan belanja tinggi,” katanya.

Bagi penjual air tebu Roslan Hamid, 40 keutamaannya adalah menyediakan kelengkapan raya untuk tiga orang anaknya.

Roslan berkata memang perbelanjaan raya tahun ini terpaksa dikurangkan kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.

Katanya wang mereka banyak digunakan untuk urusan perbelanjaan kelengkapan barang sekolah dan yuran sekolah anak-anak.

“Kali ini memang harga semua melambung tak ada yang murah. Harga barang mentah pun naik juga.

“Dan sebelum ini kita uruskan belanja sekolah anak-anak jadi kami memang bergelutlah sebenarnya untuk persiapan raya tahun ini,” katanya.

Beliau hanya memperuntukkan RM500 bagi perbelanjaan raya tahun ini kerana itu sahaja yang mampu disediakannya.

“Kami suami isteri tak beli baju raya sebab kalau tak memang tak balik raya lah kami. Kami pakai mana yang ada sahaja, anak- anak lebih utama.

“Nak beli biskut raya pun kami langsung tak beli tahun ini, memang peruntukan hanya utk baju anak, duit raya sedikit dan kos balik kampung itu sahaja,” katanya.

Pemilik kedai emas Tengku Muhamimin Tengku Mahmud pula berkata beliau banyak menerima pelanggan yang mahu menjual barang kemas mereka kerana ingin menampung perbelanjaan raya.

“Sebab harga emas sekarang naik paling tinggi setakat ini dalam RM2.70 bagi satu gram jadi ramai yang ambil kesempatan tolak balik emas untuk dapatkan duit lebih.

“Biasanya mereka nak duit lebih untuk perbelanjaan raya sebab sekarang semua harga naik,” katanya yang menjalankan perniagaan di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Katanya lagi perniagaannya juga agak perlahan ketika musim perayaan tidak seperti tahun sebelum ini.

“Sebab harga emas naik jadi kebanyakan pelanggan tak beli emas untuk raya tahun ini. Biasanya mereka akan jual balik emas kepada atau tolak barang kemas mereka untuk dapatkan yang baru,” katanya. – 10 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen