89% responden bimbang kenaikan kos sara hidup, menurut kajian 


Peningkatan harga barangan menjadi kebimbangan utama kebanyakan responden dan sehingga kini ia dilihat masih belum ada penyelesaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2023.

TINJAUAN UCSI baru-baru ini menunjukkan 89% daripada responden kaji selidik kos sara hidup mereka “sangat bimbang” tentang peningkatan kos sara hidup apabila inflasi yang terus meningkat.

Inflasi telah meningkat sebanyak 0.8%, daripada 2.5% pada 2021 kepada 3.3% pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan.

Responden kaji selidik juga berkata mereka merasakan Putrajaya tidak melakukan secukupnya untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

Dalam kaji selidik ke atas rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tinjauan itu juga mendapati 61% daripada responden tidak fikir kerajaan telah melakukan secukupnya untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

Tinjauan itu mendapati kebanyakan rakyat Malaysia merancang untuk mengurangkan perbelanjaan tahun ini dengan 33% menyatakan mereka akan mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka, 27% mengatakan mereka akan menyumbang kepada simpanan persaraan, manakala 27% lagi merancang untuk mewujudkan dana kecemasan.

Bagaimanapun, 13% mengatakan mereka belum memikirkannya lagi.

Mengenai perkara yang paling mereka bimbangkan, 60% rakyat Malaysia menyatakan mereka paling bimbang dengan harga barangan runcit dan makanan, diikuti oleh utiliti (45%) dan bahan api (43%).

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), indeks harga makanan global selepas pandemik Covid-19, telah meningkat daripada 95.1 pada 2019 kepada 143.7 pada akhir 2022.

“Perbelanjaan runcit dan makanan menjadi keutamaan responden. Ini mungkin disebabkan oleh kenaikan tidak terkawal dalam harga makanan biasa seperti telur dan produk daging, yang secara langsung menjejaskan perbelanjaan harian mereka,” kata UCSI dalam satu kenyataan berhubung hasil kajian mereka.

Tinjauan itu juga mendapati 41% daripada responden mengatakan bahawa mereka terpaksa mengurangkan sedikit perbelanjaan untuk hiburan kerana kos yang semakin meningkat.

40% lagi terpaksa mengurangkan aktiviti sosial mereka dan 37% terpaksa bekerja lebih daripada biasa.

Mengenai aspek kos sara hidup yang perlu ditangani kerajaan terlebih dahulu, 60% daripada responden menyatakan keutamaan adalah keselamatan makanan yang mana mereka mahu kerajaan mengawal harga siling barangan makanan penting.

53% menyatakan bahawa kerajaan harus menangani isu penjagaan kesihatan manakala 52% berkata kadar sewa.

UCSI berkata 1,031 orang mengambil bahagian dalam tinjauan itu dengan 59% daripada mereka mempunyai pekerjaan, 12% menganggur, 23% pelajar dan 6% pesara.– 10 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen