Cuaca buruk punca sayur mahal, kata pembekal


Noel Achariam

Petani dan pemborong berkata beberapa sayur-sayuran berdepan kenaikan harga disebabkan oleh keadaan cuaca buruk dan tidak menentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari 2023.

KEADAAN cuaca buruk dan tidak menentu menyebabkan berlaku kenaikan harga beberapa jenis sayur-sayuran yang dijual di Malaysia, kata petani dan pemborong.

Mereka berkata harga tomato, bendi, timun, terung dan kacang panjang naik berikutan cuaca lembab dan banjir tetapi menjangkakan harga akan menjadi lebih murah apabila cuaca baik.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata mereka terpaksa menjual sayur-sayuran pada harga tinggi kerana musim lembap terus menjejaskan tanaman.

Beliau berkata punca harga beberapa sayur-sayuran naik disebabkan banjir dan hujan lebat yang melanda ladang sejak Oktober lalu.

Katanya beberapa tanaman rosak semasa banjir. Lebih teruk lagi, kekurangan cahaya matahari menjejaskan pengeluaran mereka.

“Kami berdepan kesukaran untuk menjual sayur kerana tidak ramai yang mahu membeli ketika harganya tinggi.

“Malah pasar pagi berhenti menjual sayur-sayuran terpilih kerana harganya tinggi dan orang ramai tidak mahu membeli,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya terdapat lebih 100 jenis sayur-sayuran yang berbeza tetapi hanya harga lebih kurang tujuh atau lapan jenis sayur sahaja yang naik.

Wong berkata tahun lepas harga tomato sekilogram ialah RM8 dan tahun ini harga pemborong antara RM10 dan RM10.50 manakala peruncit menjualnya pada harga RM15.

Bendi pula pada tahun lepas dijual dengan harga RM8 sekilogram, tahun ini antara RM13 dan RM14, manakala dijual pada harga RM18 hingga RM20, kacang panjang tahun lepas RM7 hingga RM8, tahun ini RM11 hingga RM12, di hujung peruncit pula. RM15 dan timun ialah RM5, tahun ini RM7.50 dan dijual pada harga RM10.

Pada Rabu lepas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader mendakwa harga beberapa sayuran melonjak lebih 160% pada bulan lepas.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan dan melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010.

Menurut CAP harga bendi meningkat sebanyak 166% daripada RM6 sekilogram bulan lepas kepada RM16 sekilogram bulan ini manakala harga kacang panjang meningkat dua kali ganda daripada RM6 sekilogram kepada RM12 sekilogram.

Tomato pula meningkat daripada RM4.50 sekilogram kepada RM10 sekilogram (peningkatan 120%) dan terung daripada RM7 sekilogram kepada RM12 sekilogram (peningkatan 71%).

Harga turun

Beliau berkata sebelum ini peruncit akan membeli sehingga 10 kotak tomato tetapi kini mereka hanya membeli dua kotak.

Tambahnya perniagaan merosot sehingga 20% sejak kekurangan bekalan sayur-sayuran terpilih.

“Kami harap kerajaan dapat membantu kami. Keadaan ini akan menjejaskan kumpulan B40 kerana mereka tidak mampu membeli sayur-sayuran itu.”

Sementara itu Gabungan Persatuan Peladang Sayuran berkata harga yang meningkat sejak awal tahun ini boleh menurun apabila cuaca mula bertambah baik bulan depan.

Presidennya Lim Ser Kwee bersetuju punca itu disebabkan oleh banjir dan kekurangan cahaya matahari.

“Apabila cuaca semakin baik, kita sepatutnya melihat penurunan harga. Harapnya pada bulan ini atau seterusnya.

“Kita ada lebih 100 sayur-sayuran dan hanya harga sayur-sayuran terpilih sahaja yang naik. Kita harap rakyat dapat bersabar,” katanya.

Lim berkata antara sayur-sayuran yang berdepan kenaikan harga ialah tomato, bendi, timun, terung dan beberapa sayuran lagi.

Beliau berkata sebelum ini mereka boleh menuai 10 bakul kacang panjang dalam satu ekar tanah tetapi ketika ini mereka hampir tidak dapat memenuhkan tiga bakul.

“Kami juga buntu mengapa kami tidak dapat menghasilkan sayur-sayuran yang mencukupi. Kami berdepan kos seperti utiliti, kompos, pembunuh rumpai, upah pekerja, pengangkutan dan lain-lain untuk ditangani,” katanya. – 3 Februari 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen