BWF tolak cadangan Chong Wei


Hoyer bekata Chong Wei bukan bekas pemain pertama yang mencadangkan perkara terbabit. – Gambar EPA, 27 Mei, 2023.

PRESIDEN Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Poul-Erik Hoyer tidak bersetuju dengan cadangan mengurangkan jumlah kejohanan dalam kalendar penganjuran badan sukan itu seperti disarankan bekas pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Sebaliknya, beliau berkata apa yang perlu dilakukan oleh BWF ialah mewujudkan sistem kejohanan ‘ladder’ dengan menyusun semula semua pertandingan mengikut keutamaan.

“Pada padangan saya, kita sudah kukuh dan sudah boleh mulakan perbincangan kejohanan mana perlu diberikan keutamaan dan kejohanan mana diletakkan dalam tier dua dan tier ketiga, saya juga percaya ini akan menyediakan generasi muda untuk benar-benar mendapat pendapatan.

“Saya rasa kita patut bincang bagaimana kita boleh laksanakan ladder (sistem) dan fokus. Saya tidak mahu mengurangkan kejohanan, saya mahu membuat lebih banyak kejohanan supaya kita boleh membuat sistem ladder itu…itu yang saya percaya,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Pada sidang media hari ini, Chong Wei mencadangkan agar BWF mengurangkan jumlah kejohanan dalam setahun jika mahu melahirkan pemain berkualiti seperti Lin Dan dari China.

Hoyer bekata Chong Wei bukan bekas pemain pertama yang mencadangkan perkara terbabit.

“Kita juga mahu mendengar pendapat daripada pemain berpengalaman yang lain,” katanya.

Terdahulu, Hoyer turut menjadi saksi kepada majlis menandatangani MoU antara Badminton Asia dan BAM dan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

MoU ditandatangan oleh Presiden Badminton Asia Kim Jong Soo and Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria. – Bernama, 27 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen