Facebook perlu sekat sekutu Cambridge Analytica di Malaysia


Muzliza Mustafa

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anuar menjelaskan ini bagi menghalang campur tangan atau penglibatan tidak sah dalam kempen media sosial menggunakan Facebook di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

GERGASI media sosial, Facebook Inc perlu meluaskan sekatan ke atas Cambridge Analytica kepada semua sekutunya yang berada di Malaysia atau yang bekerja dalam kempen politik di negara ini sehinggalah persoalan utama mengenai aktiviti haramnya disiasat dan diselesaikan, kata Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai menjelaskan ini bagi menghalang campur tangan atau penglibatan tidak sah dalam kempen media sosial menerusi Facebook di Malaysia.

“Isunya sekarang bukanlah penggunaan media sosial dan perunding stratergi untuk kempen politik yang sah tetapi aktiviti haram, tidak beretika atau manipulasi yang mungkin digunakan untuk mencapai matlamat pelanggan mereka di seluruh dunia. Juga timbul persoalan berkaitan penggunaan dana awam di Malaysia untuk membayar aktiviti CA demi kepentingan politik parti pemerintah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menambah, sekiranya dakwaan itu terbukti benar ia akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan BN yang mungkin memenangi pilihan raya lepas menggunakan taktik manipulasi haram.

Beliau juga mempersoalkan kewibawaan kerajaan mahu menggubal undang-undang berita palsu kerana imejnya sudah tercemar dengan dakwaan ia memperolehi manfaat daripada amalan tidak sah CA.

Mark Turnbull, pengarah urusan CA Political Global dalam satu rakaman video rahsia dengan wartawan Channel 4 Britain mendedahkan yang ada “kerja dilakukan di Malaysia”.

Dalam laman sesawangnya, CA mengatakan ia “menyokong BN di Kedah dengan kempen mesej bersasar mengenai penambahbaikan sekolah sejak 2008”.

BN merampas Kedah daripada pembangkang pada PRU13, menang 21 daripada 36 kerusi negeri dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen.

Nurul Izzah menyifatkan tindakan Putrajaya yang menggubal undang-undang cegah berita palsu adalah terdesak kerana mahu melindungi semua kesilapan dan penipuan pilihan raya yang dilakukan sejak PRU13.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari mengatakan apa sahaja berita berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak disahkan pihak berkuasa negara ini akan dianggap sebagai berita palsu.

Katanya, kes ini sudah disiasat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang diwakili ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. 

“Cadangan PAC telah diterima penuh dan dilaksanakan kerajaan sepenuhnya. 

“Proses rasionalisasi juga dilakukan dengan baik, sehubungan itu pihak kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang disahkan pihak yang berkuasa yang disebutkan tadi, apa-apa maklumat yang selain darinya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu,” katanya.

Menyentuh perkara itu, Nurul Izzah berkata yang Jawatankuasa Parlimen perlu diwujudkan untuk menyiasat perkara in.

“Kebenaran tuduhan ini memerlukan siasatan bebas demi kepentingan demokrasi kita dan bagi menghalang keyakinan rakyat Malaysia terhadap kesahan Pilihan Raya Umum ke-14 tidak terus terhakis,” katanya. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen