Kerajaan tampung RM10.76 bilion subsidi elektrik, kata Nik Nazmi


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Dewan Rakyat kerajaan membuat penjimatan subsidi sebanyak RM5.4 bilion bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Jun 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei 2023.

KERAJAAN menampung subsidi elektrik berjumlah RM10.76 bilion bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Jun 2023, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hari ini. 

Langkah itu katanya bagi memastikan 9.5 juta pengguna yang mewakili 99% daripada keseluruhan pengguna di semenanjung Malaysia tidak terkesan akibat kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik.

“Ini bermakna kerajaan telah membuat penjimatan subsidi sebanyak RM5.4 bilion bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Jun 2023, yang mana kos tersebut telah dilepaskan pengguna secara bersasar,” kata Nik Nazmi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai perbelanjaan subsidi yang dijimatkan kerajaan susulan pelarasan ICPT pada Januari lalu.

Khoo juga ingin tahu apakah langkah-langkah lain yang sedang kerajaan rancang untuk merasionalkan subsidi elektrik di Malaysia.

Nik Nazmi sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali menggunakan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dengan mengambi kira kos bahan api dan kos penjanaan lain sejak enam bulan ke belakang.

“Dalam hal ini, kos ICPT bagi tempoh Julai hingga 1 Disember 2022 adalah sebanyak RM16.1 bilion bersamaan kadar surcaj 20 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Namun begitu, kerajaan telah bersetuju untuk mengekalkan rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan mengekalkan surcaj 3.70 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik dalam kategori voltan rendah (tarif B dan D), serta kategori pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023,” kata Nik Nazmi.

Pengguna bukan domestik yang lain dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj bagi tempoh yang sama, tambahnya.

Jelasnya lagi, buat masa ini kerajaan sedang meneliti opsyen ICPT yang munasabah kepada pengguna di semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 1 Disember 2023.

Kerajaan juga akan memastikan surcaj bersesuaian dikenakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengguna kategori pertanian dan operator-operator air supaya Indeks Harga Pengguna (IHP) dan inflasi dalam negara terkawal. 

“Kita mahu memastikan, jika sebelum ini, model pembangunan negara adalah ekonomi kos rendah, kita mahu menjadi ekonomi nilai tinggi dan kita juga mahu mencapai kecekapan tenaga serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.

“Hanya jika kita betul-betul lepaskan kos itu kepada pengguna voltan tinggi dan sederhana, dan pengguna besar atau T20, baru kita dapat mencapai objektif itu,” kata Nik Nazmi. – 25 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen