Kalimah Allah dan Yang Lain 


Hishamuddin Rais

SAYA perhatikan isu kalimah Allah ini kembali hangat. Pada akhir musim Raya tahun 2023 ini nama Allah menjadi induk berita dan labun nasional.

Pelbagai surah kita baca. Pelbagai pandangan kita dengar. Segala macam celoteh kita lihat tentang nama Allah di YouTube. Semuanya cuba memberi pencerahan tentang nama Allah.

Hakikatnya perdebatan tentang nama Allah ini sedang membakar sentimen.

Sekali pandang isu kalimah Allah ini dilihat sebagai isu agama. Tidak dapat dinafikan bahawa isu agama, kaum dan bangsa ini amat senang untuk menaikkan sentimen.

Perasaan ini boleh disifatkan seperti jerami padi kering – mudah terbakar dengan isu agama dan kaum. Justeru isu nama Allah ini sedang membakar sentimen Bani Melayu di Malaysia.

Seyogia saya beritahu bahawa yang wajib diberi pencerahan di sini adalah Bani Melayu di Malaysia. Kata induk dalam tulisan ini ialah Bani Melayu. Justeru, apabila membaca tulisan ini, Bani Melayu wajib menjadi rujukan.

Bani Melayu yang saya maksudkan ini hanya Bani Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Bani Melayu di Sabah dan Sarawak tidak tercolek oleh polemik nama Allah ini.

Saya memusatkan pandangan saya hanya kepada kepada Bani Melayu di Semenanjung. Ini kerana tunjang teori tulisan saya ini merujuk kepada Bani Melayu Semenanjung. Tunjang tulisan saya ini berasaskan teori ‘Yang Lain’ atau ‘The Other’.

Mengikut pandangan ahli falsafah dan pejuang wanita Perancis, Simone de Beauvoir (1908-1986): “Yang Lain itu adalah asas cara pemikiran umat manusia.”

Bila saja kita berfikir tentang sesuatu, kita akan memikirkan tentang Yang Lain. Memikirkan Yang Lain itu perkara biasa yang lumrah. Memikirkan Yang Lain boleh membawa padah dan menjadi sebab musabab.

Yang Lain itu tidak kita sebut. Yang Lain tidak kita rujuk. Contohnya: Ahmad memegang bunga pada tangan kirinya. Ayat ini kita fahami bahawa Ahmad juga memiliki tangan kanan yang tidak memegang bunga. Tangan kanan Ahmad tidak kita sebut. Inilah Yang Lain.

Yang Lain ini juga memasak identiti diri kita sendiri. Kita mengenali diri kita kerana kita bukan Yang Lain. Dengan mengenal Yang Lain, kita dapat mengenal diri kita. Kita mengenal diri kita dengan membezakan diri kita dengan Yang Lain.

Apa sangkut paut Yang Lain dengan Allah dan Bani Melayu Semenanjung?

Tulisan ini hanya merujuk kepada Bani Melayu Semenanjung kerana hanya Bani Melayu Semenanjung yang merasa diganggu gugat, merasa akidah mereka tercabar dan merasakan ada ancaman apabila nama Allah digunakan oleh yang bukan Islam.

Melayu Semenanjung dari pelbagai jalur – dari pemimpin parti politik, dari NGO dan dari sosok bersendirian, telah bersuara. Kesemua menyanggah tindakan Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri yang telah membatalkan kes rayuan kalimah Allah di Mahkamah Tinggi.

Tulisan saya ini tidak memaparkan fakta kes. Untuk saya, ada yang lebih penting untuk difahami. Perkara yang mahu saya munculkan, pada hemat saya, amat penting dalam memahami isu kalimah Allah berbanding memahami perincian kes.

Untuk saya, persoalan yang amat penting ini ialah kenapa Bani Melayu Semenanjung merasa  tercabar apabila ada orang bukan beragama Islam memakai nama Allah.

Bani Melayu Semenanjung klim akidah mereka menjadi goyang dan longgar apabila ada orang bukan Islam menyebut nama Allah.

Ada Bani Melayu Semenanjung merasa satu penghinaan pada agama mereka jika Allah disebut oleh sosok yang bukan Islam.

Banyak persoalan timbul. Apakah Bani Melayu Semenanjung begitu rapuh keyakinan agama mereka? Apabila ada orang bukan Islam menyebut nama Allah, mereka hilang akal. Akidah luncur. Mereka tiba-tiba teringin nak jadi Hindu, Buddha atau Kristian?

Bagaimana sebutan kalimah Allah boleh menjadi satu penghinaan apabila yang menyebut kalimah ini sosok bukan Islam? Apakah ia menjadi hina kerana bunyi idgham dan ngauman sebutan Allah itu tidak tepat?

Apakah begitu ampuh sekali senjata – kalimah Allah – yang dilafaz oleh bukan Islam sehingga mengancam akidah Bani Melayu Semenanjung?

Pada hemat saya, akidah dan keyakinan agama Bani Melayu Semenanjung kukuh. Saya juga yakin bahawa pegangan agama Bani Melayu Semenanjung tidak akan luntur kerana kalimah Allah diguna pakai oleh bukan Islam. Amin.

Jadi apa yang berlaku sekarang? Apa yang terheboh dan terbising dengan kalimah Allah?

Jawabnya: Yang Lain – The Other.

Yang Lain menjadi sebab musabab Bani Melayu Semenanjung naik syeikh apabila kalimah Allah diguna pakai oleh yang bukan Islam.

Di Malaysia, Yang Lain ialah Cina dan India. Dua kumpulan pendatang ini dianggap Yang Lain. Dalam psiki Bani Melayu, dua kumpulan pendatang ini adalah Yang Lain.

Bani Melayu Semenanjung tidak suka Yang Lain – baca Cina dan India – melafazkan nama Allah. Jika China dan India boleh menggunakan nama Allah maka tidak ada lagi perbezaan antara China , Melayu dan India.

Seperti kata Menteri Dalam Negeri, kalimah Allah ini bukan hal teologi. Saya juga menganggap  isu kalimah Allah ini bukan puncanya dari sudut teologi.

Isu kalimah Allah ini ialah kebencian terhadap Yang Lain – baca Cina dan India. Hujah teologi hanyalah gula yang disira untuk menyedapkan hujah agar ia dilihat suci, molek dan Islamik.

Saya berhujah sedemikian kerana Bani Melayu di Medan, di Bali, di Jakarta tidak tercabar akidah mereka apabila suku sakat sanak saudara mereka yang beragama Kristian melafaz nama Allah. Walhal mereka adalah penganut Islam yang terbesar di dunia.

Tidak pernah kita terbaca isu kalimah Allah ini menjadi perbalahan antara Melayu Islam Jakarta dengan Melayu Kristian Mandailing di Medan.

Saya menganggap kekuatan akidah Bani Melayu Semenanjung sama kukuhnya dengan akidah yang menjadi keyakinan Bani Melayu Islam di Jawa, di Medan, atau di Danau Toba.

Bani Melayu di Kalimantan (Sabah dan Sarawak) langsung tidak tercolek dalam hal ini. Kendati pun yang menimbulkan isu kalimah Allah ini berpunca daripada Bani Melayu Kristian Melanau.

Rumusannya, saya tidak melihat isu kalimah Allah Bani Melayu Semenanjung ini dengan sira teologi. Pandangan saya berdasarkan hakikat yang sedia wujud di hadapan mata kepala kita sendiri. Pendapat saya ini berasaskan ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan adalah hasil pembelajaran umat manusia yang muncul dari pengalaman. Justeru pengalaman diri saya sendiri mendidik saya untuk menggarap tulisan ini.

Saya ada pengalaman tinggal di Iraq dan di Lubnan. Negara-negara ini menggunakan bahasa Arab – bahasa al-Quran. Saya di Lubnan ketika permulaan perang saudara (1975-1990).

Perang saudara ini berpunca daripada ekonomi dan politik. Arab Islam Lubnan merasa terpinggir. Mereka bangun melawan kerajaan yang mereka lihat dikuasai oleh Arab Kristian Lebanon. Tapi dalam tulisan ini bukan hal ini yang hendak saya huraikan.

Perkara yang hendak saya huraikan ialah kalimah Allah. Dua kelompok yang sedang berperang ialah Arab Islam melawan Arab Kristian.

Di dinding dan tembok bangunan, saya melihat banyak grafiti cakaran menggunakan nama Allah.  Pada awalnya saya menyangka ini hanyalah graffiti Allahuakbar datang dari puak Arab Islam.

Saya bertanyakan perkara yang berlaku di hadapan mata dengan anak-anak muda Palestin yang sedang bergerila.

Saya salah. Dari pencerahan yang saya terima terbukti saya memiliki pandangan katak di bawah tempurung. Pandangan anak muda Bani Melayu tahun 1975.

Hakikatnya grafiti nama Allah itu datangnya dari Arab Islam dan dari Arab Kristian. Grafiti nama Allah itu bukan nama tuhan Islam atau tuhan Kristian – Allah nama tuhan Arab.

Saya juga menerima hakikat bahawa penerangan anak muda Palestin ini pasti betul kerana Al-Quran itu ditulis  dalam bahasa Arab – bahasa Ibunda mereka. Ini sama seperti saya memahami Sejarah Melayu yang ditulis dalam Bahasa Melayu, bahasa ibunda saya. Amin.

Semua ini meyakinkan saya bahawa isu kalimah Allah yang berlaku sekarang ini puncanya ialah Yang Lain. Teori dan hujah Yang Lain ini pula dipasak oleh politik dan kuasa.

Hujah politik dan kuasa ini terbukti dengan kutipan kenyataan Hadi Awang, pemimpin parti Islam PAS.

Ini petikan berita Hadi Awang pada 30 Disember 2013 yang dilapor oleh MalaysiaKini:

Semasa berceramah di Sungai Limau, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata orang Islam tidak boleh menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah sesama mereka – tetapi kalimah itu digunakan di depan orang Islam, itu dianggap salah.

Kemudian MalaysiaKini melaporkan perkara yang sama sekali lagi pada 12 Mac 2021:

“Sesiapapun tidak harus dilarang daripada menggunakan perkataan Allah,” kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sama ada seseorang itu Muslim, penganut agama lain – termasuk yang melantik banyak Tuhan, tidak beragama, atau ateis yang tidak percaya akan adanya Tuhan – tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah dalam bentuk ucapan atau tulisan.”

Ini kata-kata Hadi Awang ketika dia berceramah pada tahun 2013 sebelum berkuasa dan berceramah pada tahun 2021, sesudah berkuasa.

Ketika berkuasa, Hadi menjawat tugas sebagai Duta Besar ke Timur Tengah. Ucapan tentang kalimah Allah amat lunak didengar. Malah ateis pun boleh menggunakan kalimah Allah.

Ini namanya berpolitik untuk mendapat kuasa.

Ada lagi sebab musabab yang menimbulkan kontroversi kalimah Allah. Isu ini tidak dapat dipisahkan dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Mereka yang menimbulkan isu kalimah Allah ini tidak menyokong kerajaan campuran Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional. Malah mereka mahu menumbangkan kerajaan ini.

Kalimah Allah ini dijadikan peluru suci lagi Islamik untuk mengolah persetujuan agar semua Bani Melayu Semenanjung akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat dan menyokong Parti  Bersatu atau parti Pas.

Dalam kempen politik menolak PKR ini sekali lagi Yang Lain telah digunakan. Kempen politik ini tidak menamakan Yang Lain itu sebagai Cina atau India. Ini untuk dilihat tidak rasis. Justeru  berlapik dengan nama DAP.

Yang Lain itu ialah Cina. Yang Lain itu ialah DAP. Parti DAP ini dituduh menyimpan niat jahat untuk mengkristiankan Bani Melayu Semenanjung.

Malah dipropagandakan bagaimana PKR ini telah menjadi kuda tunggang DAP. Justeru sebagai bukti menarik balik rayuan kalimah Allah dari Mahkamah Tinggi adalah atas permintaan DAP.

Untuk mengolah persetujuan Bani Melayu Semenanjung dipropagandakan projek jahat DAP mengkristiankan Bani Melayu Semenanjung bermula dengan menggunakan kalimah Allah.

Justeru amat jelas dapat dilihat di belakang semua ini adalah politik perebutan kuasa untuk menangguk punca ekonomi. Nama Allah ini dimasukkan untuk menyuci dan mengislamkan perebutan kuasa dan ekonomi dengan Yang Lain. Amin. – 24 Mei, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen