SEKURANG-KURANGNYA 19 remaja terbunuh dalam kebakaran asrama pelajar perempuan di Guyana, kata pegawai semalam, ketika semakin ramai yang marah dengan tragedi itu.
Masih belum diketahui bagaimana kebakaran bermula pada Ahad di asrama yang menempatkan kanak-kanak perempuan berumur 11 hingga 12 tahun dan 16 hingga 17 tahun, kata seorang pembantu perkhidmatan kecemasan yang enggan namanya disiarkan.
Bangunan itu musnah dijilat api.
“Seramai 14 orang (remaja) maut di tempat kejadian, manakala lima maut di Hospital Daerah Mahdia,” kata pihak bomba dalam satu kenyataan.
Kerajaan sebelum ini berkata 20 orang maut dalam kebakaran di Sekolah Menengah Mahdia di tengah Guyana.
Selepas tragedi hujung minggu itu, lebih 10 kanak-kanak menerima rawatan hospital di dalam negara manakala enam kes serius dibawa ke ibu negara Georgetown.
“Dua kanak-kanak masih dalam keadaan kritikal, manakala empat lagi cedera parah akibat kejadian itu,” tambah bomba.
Terdapat 63 murid di dalam bangunan ketika kebakaran berlaku.
“Ini adalah bencana besar. Ia mengerikan, ia menyedihkan,” kata Presiden Irfaan Ali pada malam Ahad.
Ali berkata sudah mengarahkan dua hospital utama Georgetown memberi lebih perhatian kepada kanak-kanak terbabit.
Semalam, kira-kira 50 saudara dan rakan mangsa kebakaran berdemonstrasi di Chenapau, sebuah kampung berhampiran Mahdia yang menempatkan ramai murid sekolah itu.
“Kesakitan, keperitan, trauma. Siapa yang akan bertanggungjawab?” kata Michael McGarrell, yang kehilangan dua anak saudara dalam kebakaran itu.
Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk menuntut keadilan dan pampasan, dan mengkritik fakta yang pihak asrama menutup tingkap.
“Mengapa pelajar sekolah terperangkap dalam perangkap maut? Apa yang kita hendak beritahu ibu bapa?” Kata McGarrell, seorang aktivis Persatuan Rakyat Amerindian (APA) yang sering bertentangan dengan kerajaan mengenai hak tanah.
“Anggota bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 20 pelajar dengan memecahkan lubang di dinding timur laut bangunan itu,” kata perkhidmatan bomba dalam kenyataannya.
Pesawat persendirian dan tentera dihantar ke Mahdia, yang terletak kira-kira 200km di selatan Georgetown, kerana wilayah itu terjejas akibat hujan lebat.
Natasha Singh-Lewis, seorang ahli Parlimen pembangkang, menggesa siasatan terhadap punca kebakaran.
“Kita perlu memahami bagaimana kejadian paling ngeri dan maut ini berlaku dan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengelakkan tragedi seperti itu berulang,” katanya. – AFP, 23 Mei, 2023.
Komen