Menteri yang dijadikan tebusan penjawat awam


Faisal Tehrani

'Keingkaran penjawat awam' akan membawa kepada bencana polisi dan musibah dalam pentadbiran kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2023.

MAAFKAN kita jika menebak ini, akan tetapi coraknya memang sama. Seakan-akannya ada menteri sedang terkepung, atau menjadi tebusan oleh segelintir penjawat awam yang ingkar?

Keluhan di bawah ini oleh Roland Sagah Wee, menteri pelajaran di Sarawak bukan pertama kali didengari. 

Beliau menyatakan kunjungan menteri pelajaran peringkat persekutuan, Fadhlina Sidek dikoreograf dan diorkestrakan supaya melawat hanya sekolah-sekolah yang elok, dan mengabaikan masalah yang banyak.

Kita tidak akan menggunakan terma istilah Daulah Terpendam, malah akan menurunkan darjah keseriusannya kepada “keingkaran penjawat awam”. 

Akan tetapi, jika kita benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan “keingkaran penjawat awam” secara ilmiahnya, kita akan mendapati ia membawa kepada bencana polisi dan musibah pentadbiran.

Keingkaran penjawat awam sebetulnya memang menjadi subjek pemerhatian pengkaji sains politik.

Ia misalnya dinamakan sebagai “bureaucratic resistance” atau rencatan birokrasi; dan ada juga memanggilnya sebagai “civil servant disobedience” atau keingkaran penjawat awam. 

Jennifer Nou dalam kajiannya bertajuk “Civil Servant Disobedience” (2019) untuk University of Chicago Law School ada memberi definisi keingkaran penjawat awam ini sebagai kerja melengah, pura jahil, main-main, seraya menawarkan ketidakcekatan atau ketidakcekapan daripada kalangan penjawat awam untuk kerajaan atau wakilnya (baca: Menteri). 

Ia juga boleh jadi keingkaran secara terbuka atau dengan mengambil sikap amat-amat berwaspada terhadap lantikan politik seperti menteri dengan alasan mereka lebih mengetahui prosedur, atau “terpaling faham peraturan”.

Dalam hal ini menteri adalah lantikan politik yang dipilih oleh kerajaan yang terbentuk ekoran pilihan raya, manakala pasukan kerjanya pula adalah lantikan politik yang diangkat secara kontrak. 

Ia berbeza dengan penjawat awam yang dilantik secara tetap, tidak boleh dipecat atau dikenakan hukuman dengan sewenang-wenangnya, dan kadang kala tidak akan berganjak di lantikannya tersebut meskipun apa yang berlaku di luar. 

Keadaan ini membolehkan penjawat awam tetap itu berasa lebih “berwewenang” dan seringnya mahir menunjuk belang.

Kedua-dua staf iaitu lantikan politik (kontrak) dan lantikan pentadbiran (kekal) memang ada di setiap pejabat menteri.

Penjawat awam, seperti individu lainnya adalah seorang pengundi, dan kadang kala amat politikal dalam tindak-tanduknya termasuk ketika bersuara di media sosial.

Maka mereka juga kerap terperosok dalam kancah krisis apabila terdapat keperluan untuk memihak secara politiknya.

Ini misalnya dapat terjadi apabila parti yang menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan bukanlah pilihan hati atau pangkahan jari di kertas undi. 

Perasaan tidak puas hati penjawat awam ini kadang-kadang dibawa dan terjelma lagi terzahir tatkala perlu bertugas dan berperanan untuk melicinkan pentadbiran kerajaan yang bukan lagi menjadi dambaan hatinya.

Jennifer Nou dalam kajian bertajuk “Civil Servant Disobedience” yang saya singgung di atas secara tuntas memberi aneka contoh untuk menyokong kajian kesnya.

Beliau sebagai contoh menghujahkan, akan terdapat penjawat awam misalnya tidak bersetuju dengan sikap atau keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai kempen perang tertentu. 

Mungkin, penjawat awam itu tidak bersetuju dengan polisi ahli politik yang dilantik dalam memberikan hak asasi atau kesemarataan kepada kelompok minoriti tertentu seperti katakan, migran beragama Islam, atau golongan LGBT.

Oleh sebab itu, mereka akan melakukan keingkaran. 

Mungkin dengan cara berpura-pura tidak cekap, membuat kerja lengah dan lembab, atau menyulitkan lagi prosedur atau proses birokrasi yang sudah pun sulit, renyah dan rumit.

Ini selalu berlaku dalam keadaan kerajaan terbentuk itu adalah kerajaan minoriti, atau pilihan raya menempuh keadaan yang super sengit sehingga membuatkan rakyat atau pengundi (termasuklah penjawat awam) terbahagi.

Untuk menteri yang mempunyai pasukan bagus dalam kalangan lantikan politik (kontrak) meskipun staf kekal di jabatan atau kementeriannya berbuat palat, mereka akan kekal menyinar kerana ada dokongan yang elok dan baik daripada pasukan politik secara kontrak. 

Akan tetapi terdapat juga dalam banyak keadaan, menteri atau timbalannya itu memang tiada pasukan politik yang baik ini, dan memang bergantung sepenuh keikhlasan penjawat awam kekalnya.

Di sinilah datang malapetaka yang berisiko di atas kerana bukan semua lillahi taala.

Dalam banyak keadaan penjawat awam yang ingkar ini akan merasakan diri mereka berbuat sesuatu yang betul, atau mengikut lunas peraturan dan undang-undang.

Mereka dibuat percaya bahawa birokrasi, sikap berhati-hati, atau tindak-tanduk bertakah-takah itu adalah dengan tujuan melindungi menteri, kerana kelak jika timbul masalah; mereka juga yang terpaksa menjawabnya.

Ini tentunya adalah hujah falasi. Ini kerana sesuatu yang mungkin berlaku, tidak bermakna akan berlaku.

Malapetaka ini menjadi lebih celaka kerana kadang-kala penjawat awam itu juga pertamanya menafsirkan dasar kerajaan yang datang dari atas mengikut selera, nafsu, atau tingkat kognitifnya. 

Di AS misalnya mungkin sahaja polisi untuk memperbaiki kehidupan golongan rendah pendapatannya akan disulitkan dengan cara penjawat awam yang berurusan dengan mereka akan meminta terlalu banyak bukti kelompok itu betul-betul miskin.

Proses yang lambat dan sukar ini kelihatan seperti kerja teliti, atau birokrasi, tetapi dalam banyak keadaan ia adalah “keingkaran penjawat awam”. 

Pengundi yang terdiri daripada kelompok miskin akan merasakan diri mereka dikhianati oleh ahli politik yang dipilih akan mulai marah-marah dan mengeluarkan kata-kata “ahli politik sama sahaja bila sudah terpilih”.

Niat penjawat awam untuk menyusahkan ahli politik yang bukan pilihan hatinya telah tercapai. Jika ia berlaku secara wabak, tidak mustahil kerajaan tersebut akan jatuh.

Keingkaran penjawat awam menjadi sangat mudah apabila sesebuah negara itu memiliki jumlah penjawat awam yang sangat besar dan tidak lagi boleh dikawal.

Dalam banyak keadaan malah, penjawat awam mempunyai suara dan boleh melakukan “sabotaj” untuk menunjukkan kerajaan yang sedang dikhidmatinya itu tidak bagus. 

Dalam keadaan tertentu, keingkaran penjawat awam berlaku kerana penjawat-penjawat awam ini sedang melakukan percaturan politik pejabat iaitu untuk menaiki posisi lebih tinggi dan menggunakan prosedur dan peraturan sedia ada untuk mengenakan sasaran yang tidak diingini.

Ini mungkin berlaku di peringkat atasan, dan staf penjawat awam di peringkat bawah mungkin akan berpihak dan membuat kem-kem lantaran termakan budi seperti dibelanja makan tengahari, disentuh bahu, rajin bawa melawak, bahasa manis dan lain-lain lagi. 

Antara cara percaturan politik yang popular ialah dengan menuduh pesaing mempunyai maslaah integriti, terlibat dengan rasuah dan korupsi, atau melakukan gangguan seksual.

Penyakit keingkaran penjawat awam ini sukar dibuktikan, bahkan ia kelihatan sihat atau biasa di mata ramai orang.

Terdapat banyak penelitian perlu dilakukan untuk membaiki keadaan ini. 

Dalam keadaan tertentu atau jangka pendek, menteri boleh sahaja bertegas dan tidak mudah terseliuh oleh aksi penjawat awam di kelilingnya.

Mereka boleh mengkaji corak yang dibuat oleh penjawat awam ini.

Jika ia melebihi tiga kali, maka ada kemungkinan penjawat awam itu pemalas, bodoh; atau dalam konteks perbincangan rencana ini — ingkar.

Kalau malas dan bodoh buat apa disimpan. Jikalau ingkar lebih-lebih lagi jangan dipulihara. 

Jika melampaui tiga kali corak keingkaran yang dikesani, maka sayugia menteri mengikut kata hati dan pertimbangan akal sihat, lantas mengambil tindakan segera demi hayat politiknya sendiri, dan menyelamatkan kerajaan yang sedang diwakilinya. – 23 Mei, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen