MASYARAKAT bukan Islam tetap dilarang menggunakan kalimah “Allah” walau peguam negara menarik balik rayuan dalam satu kes melibatkan penerbitan bukan Islam, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata, ia tidak mengubah keputusan Mahkamah Persekutuan tahun 2014 yang memutuskan larangan itu yang hanya melibatkan isu pentadbiran.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak mengubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014,” katanya.
Kerajaan juga menghormati ketetapan dalam enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong mengenai penggunaan kalimah itu, kata Anwar.
Jemaah menteri seterusnya akan mempersembahkan cadangan untuk mengukuhkan penguatkuasan dasar melibatkan kalimah itu kepada Majlis Raja-Raja, katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 2014 mengesahkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam di Malaysia.
Pada masa sama, kerajaan mempertahankan perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, dan akan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum, katanya.
Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 menitahkan supaya kerajaan mengekalkan dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Kabinet memutuskan sedemikian itu selepas Anwar dikritik apabila perdana menteri itu dilaporkan menyebut masyarakat Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga istilah Arab.
Anwar dilaporkan berkata, masyarakat Kristian dibenarkan menggunakan kalimah itu lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran tetapi khusus untuk negeri Sarawak.
Kebenaran itu ekoran keputusan kerajaan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April dalam semakan kehakiman difailkan Jill Ireland Lawrence Bill.
Pengurusan kes bagi rayuan itu sepatutnya didengar pada 19 Mei.
Keputusan itu menamatkan kes yang berlangsung lebih 15 tahun sejak kerajaan merampas lapan cakera padat mengandungi kalimah tersebut yang dimiliki perayu.
Mahkamah Tinggi pada Mac 2021 membenarkan tiga permohonan yang dirayu oleh wanita tersebut.
Ia termasuk permohonan supaya mahkamah memutuskan arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri pada Disember 1986 yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah tersebut tidak sah.
Kementerian Dalam Negeri memohon rayuan ke atas keputusan tersebut pada Mac 2021.– 17 Mei, 2023.
Komen