Mais gantung tauliah Ustaz Dusuki


Selepas solat hajat pada majlis menyambut 10 tahun PAS dalam kerajaan Selangor di Shah Alam minggu lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Selango Ahmad Dusuki Abd Rani dalam doanya menyamakan perjuangan parti Islam itu dengan perang melawan kafir pada zaman Nabi Muhammad dan memohon musuh PAS dihancurkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

AHLI Jawatankuasa PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani digantung tauliah mengajar agama di negeri itu oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais), beberapa hari selepas terkait kontroversi mendoakan kehancuran “pakatan yang jahat”.

Surat penggantungan itu tersebar melalui media sosial selepas Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin memuatnya naik di Facebook petang tadi.

“Tauliah Ustaz Dasuki ditarik oleh Majlis Agama Islam Selangor.

“Agak-agak kalau dia mengajar juga, Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) datang tangkap tak?” tanya Wan Ji.

Wan Ji pernah sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa agama Selangor kerana didakwa menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Surat penggantungan itu antara lain menyebut Ahmad Dusuki dilarang daripada  mengajar dan berceramah berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan susulan aduan dan laporan media berkaitan kontroversi doanya itu.

Selepas solat hajat pada majlis menyambut 10 tahun PAS dalam kerajaan Selangor di Shah Alam minggu lalu, Ahmad Dusuki dalam doanya menyamakan perjuangan parti Islam itu dengan perang melawan kafir pada zaman Nabi Muhammad dan memohon musuh PAS dihancurkan.

“Beri peluang kami melihat keadilan Islam dan indahnya agama kamu di bumi bertuah ini… bertapa ada kalangan Adun kami disekat perbelanjaan mereka dan peruntukan mereka, pada kamu kami mohon buka hati mereka dan layaknya kamu membalas.

“Jemaah ini dikhianati mereka yang melarikan kerusi kami ya Allah… tidakkah kamu menyebut dalam kata-kata kamu doa mereka yang dizalimi tidak akan ditolak, kami pohon segala pakatan mereka rancang dihancur lebur.

“Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tidak mempunyai kekuatan sejauh mana kamu dah lebur tentera ahzab demikian kami akan hadapi nanti,” kata Ahmad Dusuki dalam doanya di hadapan lebih 1,000 penyokong PAS pada malam itu.

Majlis Agama Islam Selangor berkata tindakan penggantungan itu dibuat mengikut Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Isalam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2015. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

Menurut Mais tindakan ini dibuat mengikut Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Isalam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2015.

Menurut surat tersebut, sekiranya Ahmad Dusuki gagal mematuhi arahan penggantungan ini, beliau akan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2015 iaitu jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau 2 tahun penjara  atau kedua-duanya sekali.

“Kedudukan tuan selaku pemegang tauliah akan diputuskan selanjutnya oleh Jawatankuasa Tauliah yang akan bersidang dalam masa terdekat,” menurut surat itu.

Pada PRU 2008, PAS yang ketika itu bergabung bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat bersama membentuk kerajaan di Selangor.

Bagaimanapun, selepas PRU13, gabungan pembangkang itu berpecah ekoran perselisihan pendirian PAS dan DAP berhubung isu pelaksanaan hudud yang dimajukan oleh parti Islam itu di Kelantan. 

Sehubungan itu, DAP dan PKR bersama Amanah, sebuah parti serpihan daripada PAS, kemudiannya membentuk kerjasama baharu yang dinamakan Pakatan Harapan, yang selepas itu disertai oleh Bersatu.  – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen