PAS Selangor solat hajat supaya ‘pakatan jahat’ dihancurkan


Kamles Kumar Mohd Farhan Darwis

Ahmad Dusuki berdoa usai mengimamkan lebih 1,000 penyokong PAS sempena ulang tahun ke-10 PAS Selangor di Stadium JKR Shah Alam, malam tadi. Antara doanya ialah memohon supaya tuhan melemah dan menghancurkan 'pakatan jahat' dalam PRU14 kelak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mac, 2018.

PEMIMPIN PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani memohon agar Allah menghancur dan melemahkan “pakatan jahat” untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Sempena solat hajat ulang tahun ke-10 PAS dalam kerajaan Selangor, Ahmad Dusuki berdoa agar dibuka hati kepimpinan Selangor untuk mengembalikan peruntukan kepada para Adun PAS di negeri itu.

“Beri peluang kami melihat keadilan Islam dan indahnya agama kamu di bumi bertuah ini… bertapa ada kalangan Adun kami disekat perbelanjaan mereka dan peruntukan mereka, pada kamu kami mohon buka hati mereka dan layaknya kamu membalas,” kata Ahmad Dusuki dalam doanya di hadapan lebih 1,000 penyokong PAS di Stadium JKR di Shah Alam, malam tadi.

“Jemaah ini dikhianati mereka yang melarikan kerusi kami ya Allah… tidakkah kamu menyebut dalam kata-kata kamu doa mereka yang dizalimi tidak akan ditolak, kami pohon segala pakatan mereka rancang dihancur lebur.

“Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tidak mempunyai kekuatan sejauh mana kamu dah lebur tentera ahzab demikian kami akan hadapi nanti,” katanya lagi.

Ahmad Dusuki juga berdoa agar pengundi yang memilih PAS dalam PRU14 diberikan ganjaran syurga.

“Jadikan mereka yang telah pangkah PAS kubur mereka jadi damai dan tenang, tangan mereka jadi saksi di hadapan kamu nanti,” kata Ahmad Dusuki.

Selain itu, beliau turut memohon agar ahli parti itu dikukuhkan dan dijauhkan daripada perpecahan.

“Kami pohon padamu ya Allah agar dibuka hati pengundi di kalangan kami dan akan lihat kezaliman dilakukan BN sebelum ini pada rakyat Selangor dan Malaysia.

“Satukan hati-hati sesama kami dan jauhkan pertengkaran tidak berkesudahan,” katanya menambah bahawa hanya PAS yang membawa ajaran agama Islam.

Pada PRU 2008, PAS yang ketika itu bergabung bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat bersama membentuk kerajaan di Selangor.

Bagaimanapun, selepas PRU13, gabungan pembangkang itu berpecah ekoran perselisihan pendirian PAS dan DAP berhubung isu pelaksanaan hudud yang dimajukan oleh parti Islam itu di Kelantan. 

Justeru, DAP dan PKR, bersama Amanah, sebuah parti serpihan daripada PAS, kemudiannya membentuk kerjasama baharu yang dinamakan Pakatan Harapan, yang selepas itu disertai oleh Bersatu. – 17 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau Pakatan dihancurkan, adakah PAS berhajat PAS akan menang atau BN menang? Apakah PAS ingin berjuang?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan