LOH Siew Hong memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah minggu lalu yang memutuskan ketiga-tiga anaknya masih beragama Islam.
Peguamnya, A Srimurugan berkata notis rayuan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, pagi tadi.
“Saya juga akan menulis surat kepada setiausaha hakim Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan alasan bertulis penuh,” katanya yang dilaporkan FMT.
Menurut Sirmurugan, ia bagi membolehkan memorandum rayuan difailkan yang akan mengenal pasti di mana hakim tersilap dalam keputusannya.
Minggu lalu, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan Loh untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuannya oleh bekas suaminya.
Wan Ahmad Farid berkata afidavit Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor menunjukkan kanak-kanak itu menunjukkan niat melalui tindakan mereka untuk terus berada dalam Islam walaupun berada di bawah jagaan Loh tahun lepas.
Hakim berkata pada afidavit Mohd Nazim menunjukkan kanak-kanak itu pada 22 Februari tahun lepas masih mengamalkan ajaran Islam, menunaikan solat subuh, malah seorang daripada mereka mahu menjadi peguam syarie.
Mengenai isu penukaran agama, Wan Ahmad Farid mendapati tiada pertikaian sijil penukaran agama dikeluarkan untuk kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata sijil itu dikeluarkan selepas responden pertama iaitu Pendaftar Mualaf Negeri Perlis berpuas hati bahawa keperluan undang-undang di bawah Seksyen 107(1) Enakmen Perlis 2006 dipatuhi apabila kanak-kanak itu mengisytiharkan syahadah dengan rela hati.
Pada 1 Ogos 2022 Loh, 36 mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan permohonan semakan kehakiman.
Loh memfailkan permohonan itu pada 25 Mac tahun lepas dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.
Dia juga mahu anak perempuan kembarnya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 11 tahun itu disahkan masih beragama Hindu.
Wanita itu juga memohon pengisytiharan tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.
Pada 21 Februari tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus Loh selepas dia gagal mendapatkan hak jagaan tiga anaknya itu daripada individu bernama Nazirah Nanthakumari Abdullah.
Loh dipisahkan daripada anak-anaknya sejak 2019 ketika dia berada di hospital akibat kecederaan yang didakwanya didera oleh Naghaswaran.
Pada bulan Julai 2020, bekas suami Loh, Nagahswaran Muniandy menukarkan agama anak-anak mereka dan Loh tidak dapat menemui mereka selain terhalang oleh sekatan pergerakan Covid-19.
Naghaswaran kini berada di penjara di Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah. – 15 Mei, 2023.
Komen