Ketua Pemuda Umno mohon maaf kritik lantikan politik di agensi pertanian


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh memohon maaf atas kritikannya terhadap pelantikan pemimpin PH bagi mengetuai kementerian dipimpin Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2023.

KETUA Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh memohon maaf atas kritikannya terhadap pelantikan pemimpin PH bagi mengetuai kementerian dipimpin Mohamad Sabu.

Akmal akur bahawa beliau sepatutnya mengutamakan usaha pembangunan negara dan tidak mengungkit perbezaan di kalangan parti.

“Saya berbesar hati dengan rendah hati memohon maaf atas ketidaksempurnaan diri saya. Tugas kita membangunkan negara dengan politik lebih baik, pendekatan jauh lebih baik.

“Kita tiada masalah ada perbezaan tapi ia perlu diurus dengan lebih baik. Mencari perbezaan lebih mudah daripada mencari kesamaan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu berkata demikian ketika Konvensyen Pemuda Perpaduan yang diadakan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pagi ini.

Dalam kritikannya pada Jumaat, Akmal antara lain menggesa pelantikan wakil rakyat Amanah Faiz Fadzil sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditarik balik.

Beliau juga membuat gesaan sama bagi pelantikan dua lagi pemimpin Amanah, Mahfuz Omar dan Aminuddin Zulkipli mengetuai agensi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mahfuz dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) manakala Aminuddin sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Akmal menggesa demikian kerana menurutnya pelantikan itu bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mohamad yang merupakan presiden Amanah turut melantik pemimpin PKR Azman Ismail serta Sheikh Umar Ali dari DAP untuk mengetuai dua lagi agensi bawah kementeriannya.

Azman dilantik mengetuai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) manakala Sheikh Umar Ali untuk mengetuai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Sebagai generasi muda, mereka perlu mencipta sejarah baharu melalui kerjasama antara komponen kerajaan perpaduan yang sebelum ini bermusuhan antara satu sama lain, kata Akmal.

“Orang muda kena tunjukkan gaya politik baharu, sebab masa depan negara kita bergantung dengan kita hari ini.

“Sebab masa depan negara kita bergantung dengan kita hari ini, apa yang berlaku yang lepas sudah-sudahlah, orang muda di luar sana dah jemu permainan politik berlaku,” kata Akmal.

Beliau sehubungan itu berkata, penyatuan antara komponen dalam kerajaan perpaduan adalah antara sejarah bahru yang tercipta.

“Jadi ini permulaan, kita selalu cakap orang muda kena baca dan faham sejarah, tapi apa yang lebih penting orang muda kena cipta sejarah, itu lebih penting.

“Bagi sahabat-sahabat pemuda, saya nak beritahu, ini masa kita cipta sejarah politik baharu hari ini kita kena tunjukkan kepada rakyat di luar sana.

“Orang muda dalam kerajaan perpaduan tidak lagi cakap soal ekstremisme, tapi kita kena cakap soal persamaan demi negara,” tambahnya. – 14 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen