Dominasi parti politik Melayu bertukar tangan?


Fakhrurrazi Rashid

Parti Melayu dan Islam yang konsisten dan mempunyai momentum dalam pilihan raya setakat ini adalah PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei 2023.

PERSAINGAN politik kini telah membuka ruang kepada peralihan dominasi parti politik Melayu. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi mesej bahawa Umno-Barisan Nasional (BN) bukan lagi pelindung sejati buat orang Melayu dan Islam.

Kemunculan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh kerusi Melayu terbanyak berbanding Umno menunjukkan peralihan kuasa politik Melayu hampir lengkap kepada bentuk politik baharu.

Pilihan raya negeri (PRN) enam negeri akan datang bakal memberi gambaran baharu parti politik yang popular dalam kalangan orang Melayu. Persoalannya, parti Melayu yang mana satu?

Trend pengundi Melayu tidak banyak berubah. Dari PRU12 sehingga PRU15, pola pengundi Melayu sentiasa bertentangan dengan isu-isu nasional. Kalau berubah sekalipun, ia berlaku beberapa peratus di kerusi-kerusi Melayu dan kerusi marginal.

Tiga pilihan raya sebelum ini menunjukkan proses peralihan dominasi parti Melayu lama kepada satu parti Melayu yang lain. Parti Melayu dan Islam yang konsisten dan mempunyai momentum dalam pilihan raya setakat ini adalah PAS.

Pertukaran rakan gabungan parti daripada Pakatan Rakyat (PR), Muafakat Nasional (MN) pada 2019, dan kini dalam PN, tidak menjejaskan reputasi PAS dalam pilihan raya. Malah, PAS menjadi rakan penting dalam memperkukuh mobalisasi gabungan parti.

Dari sudut yang berbeza, PAS masih memenangi kerusi parlimen di wilayah Pantai Timur dan Utara negara dan berjaya merampas semula Terengganu daripada Umno-BN ketika bertanding solo pada PRU14.

Dalam PRU15, PAS memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat sebanyak 49 kerusi dan kemudiannya DAP di tempat kedua dengan 40 kerusi parlimen. Di negeri Perak dan Pahang, PAS hampir menubuhkan kerajaan. Buat pertama kali juga, PAS dan PN berjaya membentuk kerajaan Perlis setelah berpuluh tahun diperintah Umno-BN.

Sindrom tidak yakin PAS

Fenomena gelombang hijau secara tersurat dan tersirat hanya bermaksud pertukaran dominasi parti politik Melayu baharu di era ini. Namun, kekuatan PAS menjadi parti popular Melayu masih belum terjawab dan teruji, lebih-lebih lagi dalam PRN.

Kemenangan Umno-BN dalam PRN Melaka dan Johor dengan majoriti besar menunjukkan parti itu masih ada penyokong asas meskipun PAS dan PN mengikuti rapat di belakang. Sekiranya momentum Umno-BN diteruskan, ia akan menimbulkan lagi persoalan tentang kekuatan PAS dengan pengundi Melayu.

Umno masih mempunyai daya tarikan memujuk orang Melayu menyokong semula parti itu. Imej Umno berdasarkan pengalaman mentadbir negara adalah tawaran terbaik kepada orang Melayu. Sebahagian besar orang Melayu masih mempercayai konsep kerajaan Malaysia bersifat majmuk dan mampu memberi memberi pulangan ekonomi lumayan buat mereka.  

Pengundi Melayu masih memandang tinggi pemimpin Melayu berkarisma dan boleh diterima semua masyarakat, termasuk komuniti dunia. Perkara ini masih lagi wujud dalam kerangka Umno. Namun, isu integriti yang Umno sedang lalui telah meminggirkan pemimpin Melayu ini.

PAS masih tidak yakin pemimpinnya boleh mentadbir dengan jawatan utama seperti timbalan perdana menteri dan perdana menteri itu sendiri. Ini terbukti apabila tidak ada seorang pun pemimpin PAS diangkat sebagai menteri kanan bertaraf timbalan perdana menteri sewaktu kerajaan 33 bulan sedangkan parti itu mempunyai pengaruh dalam kalangan orang Melayu.

Jika menjadi kerajaan sekalipun, PAS sukar keluar daripada zon selesa untuk mengangkat isu-isu besar selain agama dan kaum. Disebabkan ketandusan imej pemimpin birokrat dan moderat, PAS terpaksa bergantung kepada parti Melayu seperti Bersatu dan Umno menjadi pemimpin kanan dalam kerajaan.

Dilema PAS ini sebenarnya mirip dengan DAP. Pertama, sukar menemui pemimpin berkemampuan menjadi perdana menteri. Kedua, lebih suka berjiwa kecil menjadi kerajaan. 

Mungkin ini sindrom parti politik yang memenangi kerusi parlimen yang banyak di Malaysia – gemar menjadi kerajaan dan bukan pemimpin kerajaan. Ironinya, PAS dan DAP lebih dominan dan efektif di peringkat kerajaan negeri.  

PAS kini tidaklah begitu selesa. Kes rasuah yang menimpa Bersatu ini boleh dibaca sebagai satu liabiliti buat parti Islam itu memasuki gelanggang PRN.

Pertemuan pemimpin PAS dan Dr Mahathir Mohamad menandatangani Proklamasi Melayu adalah isyarat jelas Bersatu tidak mempunyai pemimpin yang boleh menarik sokongan Melayu yang lebih besar, khususnya di Kedah.

PAS kini terbeban dengan kes mahkamah pemimpin Bersatu yang mencalar integriti parti itu kepada pengundi Melayu. Apakah kita akan lihat PAS memujuk Mahathir Mohamad menyertai Bersatu semula atau masuk PAS?

Pandangan realistik buat Umno

Bersatu mungkin akan ditinggalkan PAS. Sama seperti PAS meminggirkan Umno ketika perbicaraan kes Najib Razak dengan skandal 1MDB dan SRC dibicarakan pasca-PRU14 serta setelah mendapat kuasa seperti yang berlaku semasa Langkah Sheraton.

Dilemma PAS ini tidak bermaksud Umno akan berdiri semula serta-merta. Kedudukan Umno kini seperti Bersatu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 – lemah, kecil, tetapi cuba menjadi dominan.  

Mesej disampaikan segelintir pemimpin PH mahu melihat Umno menang besar dalam PRN adalah tekanan sama diberikan kepada Bersatu ketika menghadapi pilihan raya kecil pasca PRU14 sehingga parti itu keluar daripada kerajaan PH, kononnya Melayu tidak lagi menyokong Putrajaya.

Pemimpin PH haruslah realistik. Imej integriti presiden Umno yang masih belum pulih  dan sikap parti itu yang sukar berubah tidak akan menarik banyak undi Melayu kepada gabungan kerajaan perpaduan.

Daripada mengharapkan Umno menang besar PRN, cukuplah sekadar parti itu dapat mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 dan mengambil semula kerusi negeri daripada Bersatu.  

Apa yang lebih penting buat kerajaan perpaduan sekarang adalah memastikan Umno tidak bertindak seperti Bersatu untuk keluar daripada kerajaan dan membentuk blok Melayu yang lain. Secara mudahnya, Umno perlu menunjukkan setia kawan dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal walau menang atau kalah PRN sekalipun. – 13 Mei 2023. 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen