Wanita dera pembantu rumah gagal hadir di mahkamah hari ini


Melati A. Jalil

Pengarah Pendakwa Raya Awam Muhammad Iskandar Ahmad (tengah) bercakap kepada media di luar Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mac, 2018.

ROZITA Mohd Ali dan penjaminnya hari ini gagal hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk semakan hukumannya kerana menyebabkan kecederaan parah kepada pembantu rumahnya seorang warga Indonesia.

Hakim Mahkamah Tinggi Tun Abd Majid Tun Hamzah menetapkan 29 Mac untuk mendengar permohonan pendakwa untuk semakan hukuman.

Rozita, seorang “datin”, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen minggu lalu tetapi terselamat daripada hukuman penjara walaupun mendera pembantu rumahnya.

Mahkamah Sesyen mengarahkan Rozita dikenakan bon berlaku baik selama lima tahun dengan jaminan sebanyak RM20,000 kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya.

Rayuan untuk semakan penalti itu difailkan oleh Pejabat Peguam Negara ketika bantahan awam besar-besaran dengan ribuan orang menandatangani petisyen dalam talian menuntut hukuman lebih berat terhadap Rozita.

Pengarah Pendakwa Raya Selangor Muhamad Iskandar Ahmad berkata sehingga malam tadi, banyak cubaan dibuat untuk mengesan Rozita dan penjaminnya, yang merupakan pegawai Angkatan Udara.

“Kami cuba mencarinya di dua alamat, satu di Damansara dan di rumah keluarganya di Melaka.

“Kami berjaya menampal notis segera di rumah penjamin, meminta beliau datang ke mahkamah hari ini,” katanya kepada pemberita di mahkamah.

Iskandar berkata, notis ditampal di rumah penjamin di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, yang didapati kosong.

Rumah Rozita juga didapati kosong dan peguamnya menarik diri daripada mewakilinya, kata Iskandar.

Iskandar berkata pihak pendakwa raya hanya dimaklumkan mengenai penarikan itu semalam.

“Saya percaya mereka boleh ditemui, mereka masih berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, Iskandar memberitahu mahkamah mereka masih belum menerima syarat bon dari Mahkamah Sesyen.

Lebih 65,000 orang menandatangani petisyen dalam talian menuntut hukuman lebih berat terhadap Rozita.

Jumlah itu menjangkau sasaran asal sebanyak 15,000 tandatangan. – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen