Mukhriz nafi dakwaan JPM kait beliau dengan Cambridge Analytica


Yasmin Ramlan

Mukhriz Mahathir berkata dakwaan sedemikian bertujuan mengalih perhatian orang ramai bahawa Barisan Nasional sebelum ini yang sebenarnya menggunakan perkhidmatan Cambridge Analytica. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018.

MUKRIZ Mahathir sekali lagi menegaskan beliau tiada kaitan dengan Cambridge Analytica, dan kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) cuba mengaitkan beliau dengan firma data dan perunding politik itu sebagai “usaha mengalihkan perhatian rakyat” daripada isu sebenar.

JPM petang tadi mengeluarkan kenyataan dua perenggan mengatakan Cambridge Analytica atau syarikat induknya, SCL Group tidak pernah berurusan dengan Barisan Nasional (BN) atau kerajaan Malaysia, sebaliknya berurusan langsung dengan bekas menteri besar Kedah itu semasa pilihan raya umum 2013.

Mukhriz bagaimanapun berkata dakwaan JPM itu bertujuan mengalih perhatian orang ramai bahawa BN sebelum ini yang sebenarnya menggunakan perkhidmatan Cambridge Analytica.

“Kenyataan Pejabat PM itu tidak benar. Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya punyai sebarang hubungan dengan Cambridge Analytica pada bila-bila masa.

“Sebarang dakwaan sebaliknya adalah penyelewengan fakta bertujuan untuk mengalih perhatian dari kemungkinan Cambridge Analytica telah berkhidmat dengan BN untuk menggunakan taktik kotor dalam kempen pilihan raya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight, malam ini.

JPM petang tadi menafikan bahawa BN mengupah CA untuk menjalankan kempen pilihan raya pada 2013.

Kenyataan itu menyebut, firma berkenaan bagaimanapun mengesahkan bahawa ia memberi khidmat nasihat kepada Mukhriz semasa PRU13. 

Mukhriz sekali lagi menjelaskan bahawa pengarah SCL Group Azrin Zizal yang juga pegawai medianya sebelum ini hanya berkhidmat dengannya ketika beliau memegang jawatan timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri antara 2009 dan 2013, iaitu sebelum beliau menyandang jawatan menteri besar.

CA merupakan cabang dari SCL Group, satu lagi syarikat data raya.

“Azrin tidak diambil kerja sebagai wakil syarikat jururunding seperti SCL Group atau Cambridge Analytica dan beliau tidak lagi menjadi pegawai saya apabila saya menjadi Menteri Besar Kedah,” katanya.

Terhadahulu hari ini, Mukhriz berkata beliau tidak tahu menahu mengenai pembabitan firma itu dalam kempen semasa PRU13.

Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya.

Firma yang diharamkan dari Facebook itu dalam laman webnya menunjukkan ia membantu BN merampas Kedah pada pilihan raya lalu.

Ia juga dengan gahnya mendedahkan di media British, Channel 4 News bahawa syarikat itu melakukan kerja pilihan raya di Malaysia. – 20 Mac, 2018.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen