Salah Dr Mahathir orang Melayu miskin, kata Hassan Karim


Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun dahulu dasar penswastaan sektor ekonomi dilaksanakan dengan meluas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei 2023.

DASAR penswastaan Dr Mahathir Mohamad punca utama jutaan orang Melayu di negara ini menjadi miskin selama 22 tahun beliau jadi perdana menteri, kata Hassan Abdul Karim.

Ahli Parlimen PKR itu berkata Dr Mahathir harus dipersalahkan kerana melaksanakan dasar penswastaan dengan meluas sehingga menyebabkan Melayu masih mundur dalam sektor ekonomi sehingga sekarang.

“Sebahagian sebabnya terpaksa dipikul oleh Mahathir sendiri.

“Dasar penswastaan Mahathir yang mengutamakan pembentukan kelas kapitalis kroni di kalangan segelintir orang-orang Melayu dari kalangan saudara- mara, anak-anak sendiri dan kaum keluarga serta sahabat-sahabat rapat elit politik dan ekonomi Melayu adalah punca terbesar jutaan umat Melayu/Bumiputera menjadi rakyat miskin di bandar-bandar dan di desa-desa di seluruh negara, terutama di negeri-negeri majoriti Melayu/Bumiputera di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas media semalam melaporkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu menyatakan sokongan kepada kempen ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang digerakkan oleh Dr Mahathir, pada Selasa. 

Mengulas lanjut, Hassan berkata dasar affirmative action (tindakan afirmatif) di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu bukanlah falsafah ekonomi kapitalis.

“Jika dasar affirmative action ini dilaksanakan secara pendekatan kelas yang mirip pendekatan sosialis yang mengutamakan kelas orang Melayu bawahan yang miskin maka sudah lama orang Melayu dapat dibebaskan dari kemiskinan dan kemunduran ekonomi.”

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu menambah, di bawah pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun dahulu dasar penswastaan sektor ekonomi dilaksanakan dengan meluas, di mana syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan banyak lagi diswastakan.

Katanya, Dr Mahathir berjaya dalam melahirkan beberapa orang Melayu yang jumlahnya boleh dibilang dengan jari menjadi tokoh-tokoh korporat yang kaya raya hasil daripada dasar penswastaannya.

“Manakala jutaan rakyat Melayu yang lain kekal sebagai pekerja-pekerja kolar biru bergaji rendah di bandar-bandar dan petani, pesawah dan nelayan miskin di desa-desa.”

Bulan lalu, Dr Mahathir mendakwa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah kerajaan diktator kerana menekan pengkritik kerajaan dan wakil rakyat pembangkang.

Dr Mahathir mendakwa demikian mengulas tentang pembatalan Perhimpunan Proklamasi Melayu yang sepatutnya beliau hadiri pada 19 Mac.

Perhimpunan Proklamasi Orang Melayu yang sepatutnya menampilkan Dr Mahathir dibatalkan selepas tempahan dewan bagi acara itu diubah dua kali.

Beliau kemudian mengumumkan Proklamasi Orang Melayu dalam satu sidang media yang menggantikan perhimpunan itu.

Pada hujung Mac, sekretariat proklamasi melancarkan kempen atas talian untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda perjuangan bangsa dan tanah air. – 4 Mei 2023. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen