PAS sokong Proklamasi Orang Melayu, lapor media


Proklamasi Orang Melayu itu ditandatangani oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama naib presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan penolong setiausaha agung Shahir Sulaiman yang juga setiausaha politik kepada Abdul Hadi. – Gambar Malaya Daily, 3 Mei, 2023.

PAS mendukung Proklamasi Orang Melayu dengan menandatangani dokumennya di hadapan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi, kata ketua sekretariatnya Marzuki Yahya.

Proklamasi Orang Melayu itu ditandatangani oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama naib presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan penolong setiausaha agung Shahir Sulaiman yang juga setiausaha politik kepada Abdul Hadi.

“Tuan Guru dan pimpinan menurunkan tandatangan dan menyatakan komitmen serta sokongan parti PAS terhadap usaha Tun Mahathir menerusi Proklamasi Orang Melayu.

“Tuan Guru juga sentiasa menyokong usaha Tun untuk menyatukan orang Melayu dan Islam ke arah kekuatan politik bangsa dan agama,” kata Marzuki seperti dilapor portal Malaya Daily.

Marzuki juga berkata penyertaan PAS menunjukkan agenda proklamasi merentas fahaman politik sebaliknya tegak untuk membela nasib dan masa depan Melayu dan Islam.

“Proklamasi ini diterima oleh masyarakat tanpa mengira anda dari parti PAS, Umno atau mana-mana parti, selagi dia seorang Melayu dan Islam. 

“Inilah tujuan dan agenda proklamasi agar orang Melayu bersatu membela nasib dan masa depan bangsanya,” katanya.

Ahad lepas, Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa yang juga bekas ahli Umno turut menyatakan sokongan kepada proklamasi tersebut.

Pada 19 Mac lalu, Dr Mahathir mahu menghimpunkan orang Melayu dalam satu perhimpunan namun terpaksa dibatalkan selepas empat pemilik lokasi perhimpunan menolak tempahan penganjuran rapat umum itu.

Beliau kemudian mengumumkan Proklamasi Orang Melayu dalam satu sidang media yang menggantikan perhimpunan itu.

Pada hujung Mac, sekretariat proklamasi melancarkan kempen atas talian untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu akan agenda perjuangan bangsa dan tanah air. – 3 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen