Permit aktiviti kuil tidak lulus, Ramasamy pertikai polis


Menurut Ramasamy penganut Hindu di daerah itu berdepan kesukaran mendapat permit semenjak Lee menjadi ketua polis di daerah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2023.

TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy melahirkan kekesalan terhadap Ketua Polis Seberang Perai Selatan Lee Chong Chern selepas didakwa enggan meluluskan permit untuk upacara kegamaan Hindu di daerah itu.

Ramasamy yang Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berkata penganut Hindu di daerah itu mula berdepan kesukaran mendapatkan permit untuk perarakan kegamaan sejak Lee menjadi ketua polis di situ.

“Kuil di daerah ini sudah menganjurkan perarakan pedati dari masa ke masa sejak kewujudan kuil masing-masing. Ada beberapa kuil yang sudah wujud lebih 100 tahun.

“Baru-baru ini pelbagai sekaran dikenakan ke atas kuil Hindu di Ladang Caledonia pada perayaan tahunan mereka.

“Berulang-alik ke balai polis Jawi sebelum permit dikeluarkan dengan pelbagai syarat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut memberitahu sambutan Thaipusam tahun ini di mana permohonan kuil Murugan untuk penganutnya membawa kavadi ditolak.

“Walau tidak diluluskan, penganut tetap membawa kavadi. Ahli jawatankuasa kuil kemudiannya dipanggil ke balai untuk siasatan,” katanya.

Katanya lagi dalam kes Kuil Maha Muthalaman di Bukit Tambun, permit dimohon pada 10 April untuk perarakan keagamaan yang dijadualkan 2 Jun 2023 namun sehingga kini permit masih belum dikeluarkan.

“Orang disebalik sekatan yang tidak munasabah terhadap aktiviti keagamaan Hindu di SPS ini tidak lain adalah OCPD Lee.

“Beliau bukan sahaja sombong dan tidak sensitif terhadap keperluan keagamaan Hindu, beliau juga menolak untuk mengeluarkan permit kepada kuil Hindu di daerah ini,” kata pemimpin DAP itu.

Hari ini dilaporkan Lee membuat laporan polis terhadap ahli majlis DAP atas dakwaan fitnah yang dimuat naik di Facebook.

Ahli Majlis Seberang Perai David Marshel mendakwa polis sengaja melambatkan proses kelulusan permit upacara keagamaan kuil Hindu bagi perarakan pedati di Seberang Perai.

Marshel menuduh Lee cuba menggagalkan kerajaan perpaduan dengan menuai kebencian dalam kalangan penganut Hindu terhadap kerajaan.

Menurut Lee, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanu Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kandungan dalam talian yang tidak senonoh mengancam, lucah, palsu atau menyinggung dengan niat mengganggu, mendera atau menggugat orang lain.

Bagaimanapun Ramasamy mempertahankan kenyataan Marshel itu.

Katanya Marshel tidak memfitnah Lee sebaliknya hanya membangkitkan isu tersebut susulan polis dilihat tidak sensitif terhadap hak beragama bagi penganut Hindu di daerah itu.

“David (Marshel) menegaskan keengganan OCPD mungkin menimbulkan persoalan tentang peranan kerajaan perpaduan terhadap penganut Hindu bukan saja di Pulau Pinang tapi di seluruh negara.

“Apa yang dibangkitkan David di status Facebook itu bukan fitnah atau mahu mempersenda polis secara umumnya atau OCPD secara khusus.

“Daripada OCPD Lee buat laporan polis terhadap David, beliau sepatutnya panggil dia untuk selesaikan masalah itu,” katanya sambil memaklumkan pegawainya akan membuat laporan polis terhadap Lee, hari ini. – 4 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen