Kecekapan kuasa dan penyelewengan


Salhan K. Ahmad

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikrar untuk membawa pulang setiap sen dana 1MDB yang diseleweng semasa pentadbiran Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei 2023.

SEWAKTU menempuh perjalanan menyambut Hari Raya baru-baru ini, tentu kita terlihat beberapa model kereta baharu yang dipacu kuasa elektrik turut sama menyertai kesesakan jalan raya.

Kereta elektrik bukan teknologi baharu. Sewaktu Ford Motor Company ditubuhkan pada 1903, Thomas Edison sudah menghasilkan bateri bagi menggerakkan kereta.

Bagaimanapun ia tidak meraih populariti kerana enjin yang membakar bahan api petroleum jauh lebih cekap pada masa itu.

Namun kini kenderaan elektrik menjadi tumpuan pengeluar bagi masa hadapan kerana bekalan bahan api petroleum semakin susut dan dijangka hanya dapat bertahan dalam tempoh beberapa dekad sahaja.

Enam pengeluar utama kenderaan dunia mengumumkan mereka hanya akan menjual kenderaan elektrik bermula tahun 2040.

Ia bakal menjadi tanda pusara bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman. Jentera ini akan menjadi langka dan teknologi yang menyokongnya juga lama-kelamaan berkubur.

Mat kereta yang kini fasih bertutur dengan kosa kata seperti turbocharger mula ketinggalan zaman sewaktu dunia semakin mengutamakan tenaga bersih dan hemat.

Perbualan di sekitar ekosistem teknologi kenderaan makin cenderung kepada kecekapan motor elektrik, ketahanan bateri, pengecasan, dan jarak perjalanan yang mampu ditempuhi.

Unit sukatan Watt akan menjadi lebih relevan berbanding saiz lubang blok enjin dan paip ekzos.

Pengeluar kereta sibuk mempromosi kenderaan pacuan elektrik ini sebagai jentera yang lebih cekap berbanding kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

Enjin pembakaran dalaman perlu memindahkan kuasa dari pembakaran bahan api ke pelbagai aci, gear dan gandar untuk membolehkan roda diputar bagi menggerakkan kenderaan.

Faktor geseran dan pelbagai rintangan lain membuang tenaga ini dan menyebabkan enjin mendaum keras tanpa melakukan kerja yang bermakna.

Sistem kuasa elektrik disebut lebih cekap kerana kuasa dihantar secukupnya ke setiap roda mengikut keperluan, dengan pantas tanpa perlu melalui pelbagai fasa pemindahan.

James Watt yang menghabiskan hayatnya mengoptimumkan enjin primitif arang batu pasti gembira melihat kejayaan para jurutera dan pereka ini.

Usaha Watt itu merintis jalan bagi revolusi industri pada zaman kehidupan beliau. Namanya diabadi menjadi unit pengiraan kuasa.

Kejayaan itu bagaimanapun memberi kesan besar kepada kaum pekerja. Kita diberitahu betapa begitu ramai buruh kehilangan kerja apabila pemodal menggantikan mereka dengan mesin.

Betapa marahnya warga buruh ke atas kecekapan mesin dan automasi yang memusnahkan kehidupan mereka waktu itu.

Pelbagai proses dalam pentadbiran dan perniagaan juga kini dapat diautomasi supaya lebih cekap, cepat dan menjimatkan. Sebagai contoh, dalam aliran kerja perbankan.

Automasi dalam jentera kerja perbankan ini melicinkan proses dan aturan dengan memastikan pelbagai protokol ketat dipatuhi. Namun sistem ciptaan ini tidak sempurna.

Kita hanya dapat mengesyaki jika kelemahan itu sengaja dibiarkan supaya dapat dieksploitasi bagi melakukan penyelewengan seperti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jumlah kerugian dari skandal 1MDB yang berlaku sewaktu Najib Razak menjadi perdana menteri keenam dianggarkan lebih AS$4 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei 2023.

Kita sudah jelak mendengar bagaimana dana yang berkait 1MDB diolah ke hulu ke hilir melalui sistem perbankan yang sengaja dirumitkan untuk mengaburi jejak penyelewengan.

Ia dijalankan pelaku yang mengeksploitasi sistem dengan licik sekali. Seorang pegawai tinggi bank misalnya dijadikan alat untuk menjayakan automasi ini.

Malang benar kita tidak dikenali sebagai pereka bateri paling tahan lama, motor paling cekap atau jentera paling hemat tenaga.

Kita lebih dikenali dengan kes 1MDB, ibu segala penyelewengan. Mahkamah menyifatkan penyelewengan ini satu kemaluan besar buat negara.

Jumlah kerugian dari skandal yang berlaku sewaktu Najib Razak menjadi perdana menteri keenam ini dianggarkan lebih AS$4 bilion.

Itu jumlah kerugian dialami negara bagi satu unit Najib. Bayangkan jika Malaysia mengalami lebih banyak Najib.

Hasil penyelewengan inilah yang cuba dikorek, dirampas dan dibawa pulang ke kantung negara. Usaha ini masih berterusan, dan ini diikrarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Najib baru sahaja dihumban ke penjara namun kini sudah ada usaha digerakkan untuk memohon pengampunan diraja ke atasnya.

Kita tahu Anwar terpaksa memberi muka kepada usaha ini dengan mengakui hak setiap banduan untuk memohon pengampunan. Lagi pula Umno sekutu dalam kerajaan perpaduan.

Anwar juga sedia ruang dalam pentadbirannya bagi pemimpin Umno yang masih mempertahankan Najib.

Pentadbiran Anwar masih tidak bebas dari unit Najib.

Dan ini diperhatikan pengundi sewaktu setiap parti menggerakkan kempen bagi menghadapi pilihan raya negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. – 3 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen