Pembangkang mahu polis, SKMM siasat firma manipulasi pilihan raya


Rakaman sulit itu merupakan sebahagian daripada siasatan Channel 4 News ke atas Cambridge Analytica, yang menyiasat penglibatan firma tersebut dalam kempen pilihanraya 2016 melibatkan Presiden AS, Donald Trump. – Gambar Youtube, 20 Mac, 2018.

PKR menuntut polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat firma data raya Cambridge Analytica dan syarikat sekutunya, SCL Group berhubung penglibatan dalam manipulasi pilihan raya di Malaysia.

Pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil berkata Najib Razak yang pengerusi BN perlu menjelaskan penglibatan firma terbabit sebagai perunding politik bagi parti kerajaan itu.

Beliau menggesa demikian kerana Cambridge Analytica serta terlibat dalam aktiviti politik yang mungkin mempunyai elemen jenayah dan didakwa menyalahguna data peribadi pengguna Facebook.

“(Oleh itu) saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membuka siasatan terhadap kedua-dua entiti ini pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Najib perlu menjelaskan mengenai penglibatan firma berkenaan, yang kini diharamkan dari Facebook atas kesalahan melanggar dasar pengguna platform media sosial tersebut.

“Jika wujud sebarang kontrak di antara Umno-BN dengan syarikat ini, demi demokrasi dan kebaikan orang ramai, saya mohon Najib untuk mendedahkannya,” kata Fahmi lagi.

Eksekutif kanan Cambridge Analytica mendedahkan bahawa firma tersebut membuat kerja pilihan raya di Malaysia.

Pengarah urusan CA Political Global, Mark Turnbull mendedahkan demikian kepada seorang wartawan stesen televisyen United Kingdom, Channel 4 yang menyiasat kes tersebut tahun lalu.

Ia dilakukan sebagai tersembunyi dengan menggunakan syarikat yang tidak aktif di Mexico, Malaysia dan Brazil, lapor Reuters.

Pengakuan itu dimuat dalam satu video yang dirakam secara sulit oleh Channel 4.

Di laman webnya, firma tersebut menyifatkan usahanya di Kedah sebagai “kempen yang berjaya” apabila BN “menang besar” dengan meraih 21 daripada 36 kerusi negeri dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen.

Hasil dari kempen tersebut, BN berjaya memenangi semula Kedah dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, menurut firma itu lagi.

Tuntutan sama turut disuarakan pemimpin strategi Bersatu Dr Rais Hussein yang mahu Najib menjelaskan mengenai penglibatan Cambridge Analytica dalam pilihan raya di Malaysia. 

“BN perlu tampil secara terbuka dan mendedahkan sama ada mereka mengupah syarikat mencurigakan ini untuk mempengaruhi pilihan raya dalam negara,” katanya.

Laporan Channel 4 News turut merakam pengakuan Turnbull bahawa firma itu melakukan pelbagai cara untuk memanipulasi pilihan raya di negara terlibat, termasuk melakukan rasuah, menggunakan wanita sebagai umpan dan khidmat bekas perisik.

Rakaman sulit itu merupakan sebahagian daripada siasatan Channel 4 News ke atas Cambridge Analytica, yang menyiasat penglibatan firma tersebut dalam kempen pilihanraya 2016 melibatkan Presiden AS, Donald Trump.

Rais berkata, firma tersebut berbahaya kerana menunjukkan kemampuan untuk menjalankan operasi seperti memerangkap ahli politik. 

“Dan siapa yang menggunakan (khidmat) mereka di negara ini? BN perlu menjawab soialan ini kerana ia sangat membimbangkan kami semua.

“Kami tidak mahu negara ini menjadi medan tempur askar upahan,” kata Rais.

Seorang lagi pemimpin strategi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menuntut Najib menyatakan jumlah bayaran yang dbuat kepada firma terbabut.’

Ini memandangkan firma itu sendiri sudah mengakui terlibat dengan kempen untuk kemenangan BN di Kedah dalam pilihan raya umum 2013, katanya.

“Najib dengan segera perlu menjelaskan berapa banyak yang dibayar kepada Cambridge Analytica dan apakah kerja sebenar yang dilakukan untuk Umno,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan jika firma itu turut melancarkan kempen berhaluan kanan untuk kemenangan Umno.

Ini kerana, firma itu berpengalaman membantu kempen presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan memanipulasi data untuk mensasarkan iklan dengan sentimen berhaluan kanan kepada pengguna tertentu di Facebook.

Antara pelabur terbesar firma tersebut adalah bilionair Robert Mercer yang membuat sumbangan besar untuk kempen Trump dan organisasi berhaluan kanan lain di AS.

“Tidak kiralah betapa terdesakpun Najib mahu kekal berkuasa, beliau tidak harus menggunakan taktik yang memecah belah dan tidak beretika dengan memanipulasi sentimen berhaluan kanan dan agama etnik di Malaysia,” kata Wan Saiful lagi. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen