Pilih calon jujur, berintegriti, kata G25 pada parti politik menjelang PRU14


G25, kumpulan profesional orang Melayu mendesak supaya parti politik menyaring kejujuran dan integriti bakal calon mereka sebelum meletakkan mereka untuk bertanding dalam pilihan raya.

Kumpulan itu berkata ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlulah terdiri daripada mereka yang mempunyai karakter cemerlang dan bebas daripada amalan tidak beretika yang boleh menjadikan mereka “tawanan” korupsi apabila mereka memegang kuasa dan jawatan kelak, kata kumpulan itu.

“Perlu ada proses dalam semua parti politik untuk memastikan calon yang bertanding dalam pilihan raya memenuhi kriteria kejujuran dan integriti sebelum nama mereka dihantar untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Ini selaras dengan seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Umno yang perlu menjadi tauladan kepada parti politik lain supaya tidak terjebak dalam korupsi dan salah guna kuasa dalam semasa pilihan raya umum akan datang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Peperangan memerangi korupsi perlu dilakukan pada peringkat politik bagi memastikan pilihan raya yang bebas dan saksama, tambah G25 lagi.

Politikus tidak boleh terlepas daripada tindakan bersesuaian, yang sekiranya berlaku akan merosakkan kewibawaan SPRM, kata kumpulan itu.

Bagi memerangi politik wang, kumpulan itu juga mendesak kerajaan untuk menilai semula undang-undang pembiayaan pilihan raya dan mengambil kira cadangan G25 dan gabungan 70 badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini yang mahukan undang-undang baru diwujudkan bagi mengurangkan tekanan daripada sumbangan badan korporat dan memastikan pilihan raya yang adil saksama.

Kumpulan itu juga berkata disebabkan Pilihan raya Umum Ke 14 semakin hampir, cadangan itu perlu dilaksanakan dengan “ mendalam dan menyeluruh bagi memastikan proses itu berwibawa dan dihormati rakyat negara ini dan dunia.”

“Apabila politikus terlibat dalam politik wang haram untuk memenangi pilihan raya, mereka cenderung untuk terjebak dalam perangkap pemalsuan dan penipuan, dan akhirnya mereka mendapati sukar sekali hendak melepaskan diri daripada perangkap ini.

“Akhirnya, negara terjejas kerana mempunyai reputasi buruk dalam aspek tadbir urus kerajaan sepertimana boleh dilihat dengan kedudukan kita yang rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah,” kata kumpulan itu lagi.

G25 berkata wujudnya peningkatan inisiatif rakyat yang dilakukan pelbagai kumpulan bagi menyedarkan rakyat Malaysia tentang budaya korupsi.

Antaranya ialah pelancaran e-platform yang dilakukan Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4) yang membolehkan rakyat melaporkan mereka yang disyaki hidup melampaui kemampuan mereka terus kepada SPRM.

“Penyertaan rakyat akan membantu SPRM menyiasat lebih banyak kes, terutamanya melibatkan mereka yang mempunyai jawatan dan kuasa.”

Kumpulan itu juga mahukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dinilai kembali seberapa segera bagi memansuhkan halangan kepada jenis maklumat yang boleh didedahkan pemberi maklumat dan kepada siapa maklumat itu diberi.

“Sangat penting yang penjawat awam, yang membuat laporan tentang pihak atasan mereka, dilindungi daripada ancaman seperti didakwa menerusi Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata kumpulan itu.

G25 juga memuji pihak berkuasa kerana menjalankan kempen anti korupsi dan pendekatan langsung ketua SPRM yang baru Dzulkifli Ahmad dalam program kesedaran dan keberaniannya sehingga “mewujudkan desakan dan bermatlamat dalam memburu mereka yang korup”.

Kumpulan itu berkata yang kerajaan perlu membenarkan SPRM mendakwa mereka yang terlibat dalam gejala korupsi. – 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen