Pilihan di hadapan adalah tentang kita


Mahdzir Ibrahim

AHLI-ahli Yang Berhormat (YB) dan bakal Yang Berhormat sekalian, 

Ramai dalam kalangan tuan, lebih-lebih lagi YB yang muda-muda dan bakal YB (tak kurang juga yang tua) risau akan kedudukan sama ada tercalon atau tidak dalam pilihan raya. Ketahuilah bahawa ini bukan soal kerusi atau pencalonan tuan-tuan, ini semua adalah tentang kita.

Tuan-tuan tidak akan dicalonkan jika tidak mendapat kepercayaan pimpinan; sekalipun dicalonkan, itu bukan bererti tuan-tuan akan menang. 

Kepercayaan dan kemenangan ini akan datang apabila tuan-tuan diyakini oleh rakyat. Nah, ini tentang rakyat, bukan tentang tuan-tuan. Jadi, berhentilah daripada berangan-angan. 

Para pemimpin sekalian, cerita ini tentang kita. Bukan cerita tentang kejaguhan tuan-tuan.

Hebat mana pun parti tuan-tuan, hanya rakyat yang akan memilih dan menentukannya. Nah, ini satu lagi kisah tentang rakyat, bukan kisah tentang kehebatan, ketokohan tuan dan parti tuan-tuan.

Tokoh-tokoh sekalian, tuan-tuan berpidato siang dan malam tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tentang Felda (FGV), tentang cukai baranga dan perkhidmatan (GST), tentang harga petrol, tentang tol, tentang peluang pekerjaan, tentang kesihatan, tentang pendidikan anak-anak. 

Saya ucap terima kasih atas pidato tuan-tuan. Inilah cerita tentang kita.

Cerita tentang kita ini cukup mudah difahami oleh kita – rakyat. Namun, ‘faham’ ini hanyalah data dan maklumat untuk rujukan tuan-tuan, bukan hasil kerja. Kerja hanya berhasil apabila kita mampu melangkaui kerja-kerja retorik politik, iaitu membina kesedaran. 

“Sering kita/ Berjabat tangan/ Mengapa tak/ Juga berkenalan?” - A.Samad Said, ‘Rakan’ (Benih Harapan 1973)

Tuan-tuan, saya, dia, mereka adalah kita. Kita perlu bercakap dalam satu bahasa yang semua kita dapat mengerti. Tidak mudah ‘mengkitakan’ bahasa-bahasa ini, tetapi ia boleh dilakukan.

Seperti cinta. Naluri dan gerak mata atau badan, boleh menjadi bahasa menyampaikan maksud, sekalipun kita bisu. Nah, bahasa ini rupanya bukan sahaja rangkap kata-kata puitis dan retorik tetapi bahasa naluri dan kebijaksanaan dalam menyampaikan maksud.

Satu kisah nyata di depan mata kita.

Unicef memberitahu bahawa, anak-anak kita di tengah-tengah bandar besar hidup dengan kekurangan zat untuk membesar dengan sihat. Ini bukan kisah siasatan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) seperti di Iraq, tetapi ini kisah tentang kita. 

Kerana kita yang menyumbang pembinaan bandar-bandar besar ini, tetapi kita tidak membinanya dengan kesedaran. Kita membiarkan ‘mereka’ menjarah tanah meluaslebarkan bandar ini.  

Ada apa dengan kita?

Jika naskhah 1MDB ini bukan tentang hal kita, maka kita tidak perlu bersusah payah meyakinkan orang lain. Tak perlu kita membuat poster dan video parodi dan melawak. Tetapi, ia bukan.

Skandal-ini adalah kisah epik tentang masa depan kita yang sedang dikoyak-koyakkan. Kerosakan ini akan ditanggung oleh kita dan waris kita dalam bentuk hutang. Hutang ini akan diikat dengan kos-kos kehidupan harian kita.

Jika kisah epik 1MDB ini dapat kita fahami sebagai kisah tentang kita, maka akan banyak cerita yang boleh difilemkan untuk kita.

Tetapi jika 1MDB ini kisah politik, ia akan berakhir setakat mereka yang menjadi penyokong parti politik.

Ini bukan cerita tentang kepala-kepala 1MBD, bukan tentang kepala-kepada Felda Global Ventures (FGV), bukan kisah kepala-kepala Pak Menteri, tetapi tentang kita yang perlu berani melangkaui perasaan takut untuk menerima kenyataan bahawa kita sedang berhadapan dengan masa depan yang suram.

Kepada teman-teman, cerita tentang kita ini harus diselamatkan dan selalu diingatkan. 

Kita akan dimamah usia; badan dan urat sendi kita untuk bekerja akan semakin lemah tetapi hutang-hutang celaka ini akan terus menggagahi hidup kita.

Orang Melayu malu berhutang. Perasan malu ini melangkaui rasa bersalah melakukan penipuan. Mereka sanggup menipu untuk tidak dilihat berhutang. Hutang ini rakan kepada kemiskinan, mereka tahu dan kita pun tahu.

Kita harus diberitahu selalu, semua ini bukan tentang Najib Razak, Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim, politik atau parti, tetapi ini tentang kita.

‘Tentang kita’ adalah kisah tentang kesedaran dan perubahan, tak kiralah apa pun kata dan bahasanya. – 20 Mac, 2018.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen